PRN: Rundingan dengan BN selepas ‘mesyuarat dalaman’ PH negeri 2 April – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai jerayawara dan majlis perasmian Bazar Ramadan Terbesar Di George Town dekat perkarangan Lanskap A Prangin Mall di sini pada 24 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat peringkat dalaman terlebih dahulu pada Ahad minggu depan (2 April 2023) sebelum melanjutkan perbincangan berkaitan kerjasama dan pengagihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian selepas majlis perasmian dan acara jerayawara Bazar Ramadan Terbesar Di George Town dekat Landskap A Prangin Mall di sini pada 24 Mac 2023.

“Bagi PH negeri, sudah diputuskan pada Ahad akan datang, 2 April.

“Habis mesyuarat dalaman (peringkat PH) dahulu,” responsnya yang juga Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Terdahulu, Kon Yeow seusai Konvensyen Tahunan Negeri DAP pada 19 Mac lepas dalam reaksi spontan memberitahu bahawa kepemimpinan PH peringkat nasional telahpun memberikan direktif baharu berhubung kerjasama politik dengan BN atas semangat ‘Kerajaan Perpaduan’, yang mana proses rundingan tersebut mengambil masa selama sebulan sebelum dimuktamadkan dalam bentuk perjanjian bersama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Kebangsaan parti, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih.