Kerajaan Negeri sasar 40 peratus usahawan wanita menjelang tahun 2030 – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap penyertaan usahawan wanita dalam perniagaan kecil dan sederhana di negeri ini bakal mencapai sasaran 40 peratus menjelang tahun 2030.

Serentak itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng hari ini melancarkan program bimbingan Penang Women Entrepreneur Mentoring Program (PWEMP) sebentar tadi.

Jelasnya, PWEMP yang dirangka khusus untuk usahawan wanita merupakan platform untuk golongan tersebut membina rangkaian dan mendapatkan bimbingan perihal perniagaan daripada mentor-mentor yang berpengalaman.

“Kini, adalah masa yang tepat untuk memperkenalkan program ini, Kerajaan Negeri sedia maklum akan cabaran ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat terutamanya komuniti usahawan wanita disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Inilah masanya, para usahawan wanita bangkit untuk Learn, Unlearn, Relearn… tingkatkan pengetahuan tentang ilmu perniagaan dan teknologi baharu agar sentiasa di hadapan di dalam dunia perniagaan yang bersaing hebat,” ujarnya pada sidang media pelancaran PWEMP bersama-sama Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain di sini sebentar tadi.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Ling: rakan-rakan strategik antaranya JCI Pearl, NAWEM Penang, Pertubuhan Pembangunan Wanita Tamarai Pulau Pinang, Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia dan WomenBizSENSE serta rakan-rakan kerjasama iaitu SME corporation, Digital Marketing Consultation dan Penang Women Chamber of Commerce.

PWEMP yang akan mula digerakkan tahun ini adalah hasil inisiatif Pejabat Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam dengan kerjasama Pejabat Exco Pembangunan Keusahawanan dan PWDC.

Mengikut data kiraan terbaharu tahun 2016 oleh SME Corp., hanya 16 peratus atau 10,516 perniagaan di Pulau Pinang adalah dimiliki oleh wanita.

Justeru, untuk mencapai sasaran 40 peratus usahawan wanita pada tahun 2030, Chong Eng memberitahu bahawa PWEMP akan bertindak sebagai salah satu pemangkin untuk mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tersebut.

“Kita memerlukan anggaran kira-kira 100,000 usahawan wanita berdaftar… ia adalah satu KPI yang mencabar, namun tidak mustahil kerana melalui PWEMP kita telah mereka khasnya untuk menepati keperluan semasa.

“Ia termasuklah modul pemasaran dalam talian atau online marketing, perniagaan alaf Revolusi Perindustian 4.0 dan lawatan tapak ke kilang-kilang berkaitan.

“Tambahan, Kerajaan Negeri melalui PWDC telah menganjurkan Persidangan Wanita Dalam Ekonomi dan salah satu cadangan prosiding persidangan adalah menyediakan mentor bagi membimbing wanita (menti) yang ingin mula berniaga atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Jangka masa untuk setiap menti adalah enam bulan yang akan bermula pada Oktober depan, di mana mereka perlu melengkapkan latihan selama 96 jam sehingga selesai program pada Mac 2021,” ulasnya lanjut yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Pendaftaran untuk program PWEMP ini dibuka mulai hari ini dengan yuran penyertaan sebanyak RM100 untuk menti-menti yang layak di bawah kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40). Manakala, untuk menti daripada kumpulan M40 dan T20 yuran adalah RM600.

Pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian melalui pautan di laman Facebook PWEMP dan Facebook PWDC. Manakala, borang bercetak boleh didapati di pejabat PWDC dan rakan-rakan strategiknya.

Mengulas mengenai program tersebut, selaku Exco bertanggungjawab, Abdul Halim menyambut baik inisiatif strategik berkenaan dan menyatakan komitmennya untuk menyokong serta memberikan kerjasama sebaik mungkin.

“Kita sentiasa mengalu-alukan mana-mana agensi yang berhasrat menggerakkan program keusahawanan termasuklah membabitkan kaum wanita dan golongan muda.

“Saya yakin program PWEMP ini mampu mencapai sasaran 40 peratus usahawan wanita pada tahun 2030 memandangkan kini kita perlu menggerakkan kembali komuniti ke dalam ekonomi pada pasca COVID-19,” ujarnya sambil berharap agar program tersebut dapat dipanjangkan ke tahun-tahun akan datang.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF