MBSP pergiat usaha tingkatkan kesedaran kepentingan ‘smart consumption’

BUKIT TENGAH – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan program pengumpulan barang permainan lama dan buku terpakai sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan penjagaan alam sekitar

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program yang dianjurkan bersama dengan Grow Market dan Autocity Juru itu mampu mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ‘smart consumption’ yang merupakan elemen bagi mengurangkan penghasilan sampah.

“Program pengumpulan barang permainan dan buku terpakai merupakan elemen ‘Regift’ (beri semula) dalam Model MBSP Smart Consumption bagi penjagaan alam sekitar.

Antara produk kitar semula yang dijual di Grow Market Autocity, juru.

“Barang-barang permainan terpakai yang dikumpulkan ini akan disumbangkan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan yang dapat menggunakan semula permainan ini.

“Selain itu, buku-buku terpakai yang dikumpulkan pula adalah bertujuan mewujudkan sudut bacaan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat,” katanya semasa melancarkan program tersebut dekat Autocity, Juru semalam.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Pengarah Urusan Autocity Group, Gary Teoh Kiang Hong; Pengarah Golden Highway Autocity Sdn. Bhd., Billy Ong Bee Lee serta penganjur Growth Market Autocity Juru, Chee Hui Yee.

Difahamkan, program pengumpulan barang permainan lama dan buku terpakai dilaksanakan bersama-sama Grow Market pada hari Ahad kedua setiap bulan dekat Autocity, Juru.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan barang permainan dan buku terpakai boleh hadir ke Grow Market dekat Autocity Juru pada hari Ahad minggu kedua setiap bulan.

Dalam pada itu, semasa bercakap kepada pemberita Rozali memaklum bahawa MBSP kini di peringkat menyediakan ‘road map’ bagi mewujudkan ekonomi sirkular (circular economy) yang dijangka akan dibentangkan pada Disember ini.

‘Ini akan menjadi sirkular ekonomi pertama di negara ini dan ia perlu dipercepatkan bagi manfaat masyarakat,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS