90% diskaun bayaran pemajuan infrastruktur kepada pengusaha taman asuhan, pusat jagaan kanak-kanak – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menawarkan diskaun 90 peratus terhadap bayaran pemajuan infrastruktur bagi membantu mengurangkan beban pengusaha taman asuhan dan pusat jagaan kanakkanak yang beroperasi tanpa lesen kini.

Inisiatif tersebut adalah bagi menggalakkan pihakpihak berkaitan memohon lesen perniagaan masingmasing secara sah dalam tempoh masa ditetapkan.

Perkara tersebut diumumkan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng pada sidang media baru-baru ini.

Menurut Chong Eng, pemberian diskaun tersebut adalah kepada pengusaha yang telah beroperasi sebelum tarikh 15 September 2017 sahaja, dan hanya sah untuk tempoh setahun bermula 15 September 2017 sehingga 14 September 2018.

“Bagi taska dan pusat jagaan yang beroperasi mulai 16 September 2017, mereka dikehendaki mematuhi garis panduan PBT (pihak berkuasa tempatan) sedia ada.

“Setelah tamat pemberian diskaun ini, tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama-sama semua agensi terlibat akan diambil terhadap taska dan pusat jagaan yang masih lagi beroperasi tanpa lesen,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, dan Shaballah Zainal Abidin (Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, JKMNPP).

Mengulas lanjut, Chong Eng menyatakan bahawa permintaan permohonan perniagaan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang kian meningkat kini telah mendorong Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengambil tindakan pemutihan sejak tahun 2016.

“Usaha (pemutihan) ini turut dipanjangkan kepada semua pusat jagaan OKU (orang kurang upaya) dan warga emas.

“Malah, pihak JKMNPP telah mengadakan program seperti ‘Jom Daftar’ untuk berkongsi kepentingan bagi membuat pendaftaran, di samping meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab para pengusaha.

“Namun, masih banyak pusat yang beroperasi tanpa lesen, dan isu tersebut amat membimbangkan pihak Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Justeru, Chong Eng berharap dengan pemberian diskaun tersebut membolehkan lebih ramai pengusaha tampil untuk mendaftar agar kualiti perkhidmatan yang diberikan dapat dipantau, selain memastikan taska dan pusat jagaan tersebut beroperasi mengikut Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) ditetapkan.

“Setelah berbincang bersama-sama pihak JKMNPP dan kedua-dua PBT, kami mengenal pasti bahawa isu yang kerap dihadapi para pengusaha ketika mendaftarkan pusat jagaan masing-masing adalah berkait pembayaran kos tukar guna bangunan yang amat tinggi, terutamanya bagi pengusaha yang mengusahakanya berasaskan kerja amal,” ujar beliau