Penduduk Seberang Jaya terpilih jalani pemeriksaan kesihatan rumah ke rumah percuma

SEBERANG JAYA – Seramai 23 penduduk terpilih sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya menikmati perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah secara percuma di sini barubaru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, program tersebut dijalankan bagi membantu golongan kurang berkemampuan ekoran kos perubatan yang semakin tinggi kini.

“Kita (Afif dan pasukannya) memberi ubat-ubatan secara percuma dan sedikit sumbangan tunai bernilai RM50 kepada mereka yang terpilih.

“Objektif program ini adalah untuk melihat dan mengetahui dengan lebih jelas status kesihatan penduduk serta mewujudkan kesedaran pri pentingnya menjalankan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa di klinik atau hospital berdekatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Program dua hari tersebut adalah anjuran Pusat Khidmat DUN Seberang Jaya dan disokong oleh BP Healthcare Group.

Selain Afif, pemeriksaan turut dijayakan doktor pelatih, Dr. Tan Ka Keat dari Hospital Bukit Mertajam dan pembantu dari BP Healthcare Group, Jesline Ang Jia Hui dan N. Dharsyinir.

Mengulas lanjut, beliau berharap hospital atau klinik-klinik di kawasan lain juga boleh mengadakan rawatan kebajikan serupa bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Antara pemeriksaan yang dibuat termasuk tekanan darah, paras gula, katarak serta penyakit ringan lain,’’ jelasnya.