90 hektar kawasan tambakan laut di Bagan Ajam akan diserah kepada Kerajaan Negeri

Admin
槟州首长曹观友出席见证州政府与Rayson Consortium有限公司的填海计划附加合约签署仪式。

GEORGE TOWN – Satu lagi perjanjian tambahan berkaitan projek tebus guna tanah dari Bagan Ajam ke Teluk Air Tawar ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Syarikat Rayston (Consortium) Butterworth Sdn. Bhd. (RCSB) hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa melalui pemeteraian perjanjian tambahan itu, RCSB tidak lagi diberi tanggungjawab sebagai pemegang konsesi bagi tebus guna kawasan seluas 243 hektar untuk pelabuhan dan aktiviti yang berkaitan.

“Perjanjian tambahan ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang pengurusan dan pemilikan projek sekali gus membolehkan pihak RCSB meneruskan obligasi-obligasi yang termaktub dalam perjanjian pada tahun 1999.

Chow Kon Yeow.

“Selain itu, perjanjian kali ini turut menggariskan jangka masa untuk menyiapkan pindaan pelan induk projek berkenaan berserta kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dalam masa 18 bulan daripada tarikh perjanjian berkuat kuasa iaitu mulai 1 Jun 2022.

“Seterusnya, pihak RCSB perlu menyiapkan projek tebus guna tanah ini dalam masa enam tahun selepas mendapat kelulusan-kelulusan tersebut.

“Susulan itu, Kerajaan Negeri akan memperoleh pulangan tanah seluas 90 hektar daripada projek ini,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Pengarah Urusan RCSB, Dato’ Ronnie Lim Yew Boon dan Pengarah RCSB, Phang Kwai Sang.

Menurut Kon Yeow, daripada 582 hektar kawasan tebus guna tanah tersebut, seluas 272 hektar akan digunakan bagi tujuan pembangunan fasiliti awam.

“Seluas 10 hektar adalah gantian tanah Kerajaan Negeri dan serahan tanah kepada Kerajaan Negeri (90 hektar) manakala selebihnya adalah untuk pembangunan RCSB sendiri,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, pada 28 September 2018, satu perjanjian tambahan telah ditandangani yang menyatakan berkenaan perubahan serahan tanah kepada Kerajaan Negeri iaitu daripada 5 peratus kepada 35 peratus iaitu hingga 90 hektar dan penetapan garis masa bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa setakat ini hanya 26 hektar daripada 243 hektar yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah ditebus guna bagi pembinaan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

“Justeru, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan SPPP bagi pelaksanaan perancangan tebus guna di kawasan tersebut.

“Adalah diharapkan agar projek ini dapat menjadi produk transformasi penting serta memberi manfaat kepada pembangunan Negeri Pulau Pinang dan seterusnya memacu pembangunan yang mampan selaras dengan Visi Penang2030,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Perjanjian tambahan berkaitan projek tebus guna tanah dari Bagan Ajam ke Teluk Air Tawar ditandatangani hari ini.

Difahamkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan RCSB telah menandatangani perjanjian Land Reclamation and Resettlement Agreement pada tahun 1999.

Perjanjian itu ditandatangani susulan daripada perjanjian asal dan pajakan konsesi bagi kerja-kerja pembangunan Lingkaran Luar Butterworth (LLB) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn. Bhd..

Berdasarkan perjanjian tersebut, kawasan tebus guna yang telah dipersetujui adalah 650 hektar yang mana 407 hektar adalah untuk pembangunan bercampur dan 243 hektar diperuntukkan kepada SPPP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD