95 peratus premis perniagaan patuhi arahan PKP – Datuk Bandar MBPP

GEORGE TOWN – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu bahawa 95 peratus premis perniagaan didapati telah mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, peratusan tersebut adalah berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh bahagian Penguatkuasaan MBPP ke atas 8,387 premis perniagaan di bahagian pulau sehingga 25 Mac lalu.

“Walau bagaimanapun, kita mendapati pelaksanaan jarak sosial masih lagi tidak mencapai 100 peratus seperti yang disarankan terutamanya di pasar-pasar awam.

“Justeru, bagi mengatasi masalah ini, MBPP telah mengarahkan perniagaan di luar pasar awam seperti di pasar Air Itam, Bayan Baru, Jelutong, Jalan Perak dan Pulau Tikus dihentikan operasi sejak 22 dan 24 Mac lalu.

“Malah, MBPP juga mengenakan kawalan lebih ketat ke atas beberapa premis yang menjadi tumpuan orang awam mulai 24 Mac lalu,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Biasa Majlis bagi MBPP sebentar tadi.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Mengulas lanjut, Tung Seang menegaskan bahawa semua aktiviti penyembelihan ayam dalam kawasan pasar adalah tidak dibenarkan sama sekali dan hanya ayam bersih sahaja yang boleh dijual sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

“Kita juga mengehadkan bilangan pengunjung untuk masuk ke pasar dengan hanya satu pintu masuk dan satu pintu keluar sahaja dibenarkan serta tertakluk kepada maksimum dua orang pelanggan di satu gerai pada satu-satu masa.

“Justeru, peniaga dinasihati supaya hendaklah membuat jadual pusingan (giliran) bagi mengurangkan jumlah pengunjung dan peniaga selain perlu menyediakan pencuci tangan di pintu masuk pasar.

“Sekiranya peniaga dan pengunjung gagalmematuhi arahan peraturan-peraturan PKP khasnya berkaitan langkah jarak sosial maka kita akan arahkan pasar yang berkenaan menghentikan operasi,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Tung Seang turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang sebanyak RM75 juta yang turut memberi manfaat kepada 2,789 petugas barisan hadapan MBPP.

“Oleh itu, kita akan terus memantau perkembangan kawalan pergerakan supaya usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 ini dicapai dalam masa yang singkat.

“Kita juga menyeru kepada semua masyarakat supaya duduk di rumah dan memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP demi keluarga dan negara yang disayangi,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBPP