Jarak sosial di pasar semakin terkawal

PANTAI JEREJAK – Kebanyakan pengunjung pasar-pasar awam di negeri ini dilihat mula memahani pentingnya mengekalkan jarak sosial yang selamat dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Memasuki hari kesembilan pelaksanaan Perintan Kawalan Pergerakan (PKP), tinjauan Buletin Mutiara di Pasar Awam Bayan Baru mendapati keadaan sedikit sesak tetapi masih terkawal dengan kehadiran anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Pegawai Penguatkuasa MBPP, Mohd. Faizal Mohd. Noor ketika ditemui menjelaskan bahawa pengunjung pasar awam sudah mulai faham mengenai jarak sosial yang selamat.

“Semakin hari kita lihat ada ada sedikit penambahbaikan yang mana kita telah melaksanakan saringan berperingkat ke atas pengunjung sebelum masuk ke dalam pasar selaras dengan arahan PKP ini.

“Kita tidak mahu keadaan yang sesak dalam pasar. Oleh itu, MBPP melalui Jabatan Pelesenan bersama MPKK akan sentiasa mengawal keadaan di dalam pasar.

“Kita tidak benarkan pengunjung masuk ke pasar secara serentak sebaliknya kita benarkan hanya lima hingga 10 orang sahaja dalam satu-satu masa mengikut keadaan semasa,” ujarnya lagi.

 

Difahamkan, MBPP dengan kekuatan 13 anggota memulakan rutin seawal jam 7pagi dalam mengawal operasi perniagaan dan pengunjung pasar terutamanya pada waktu puncak.

Terdahulu Datuk Bandar bagi MBBP, menerusi tele sidang pagi tadi menyatakan PKP di negeri ini sudah mencapi 95 peratus kepatuhan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN