AADK fokus langkah pencegahan, elak wujud penagih dadah baharu

ISU penyalahgunaan dan penagihan dadah masih menjadi masalah utama di negara ini yang boleh mendatangkan impak negatif kepada kesihatan fizikal, mental serta tingkah laku seseorang.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berwajib untuk menangani isu ini, namun saban hari kes-kes berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah masih dilaporkan di media-media arus perdana.

Malah, menurut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah di negara ini menunjukkan peningkatan iaitu daripada 130,788 orang pada tahun 2018 kepada 142,199 laporan pada 2019.

Persoalan yang timbul adalah, apakah usaha- usaha yang dijalankan oleh pihak-pihak berautoriti kurang berkesan atau mungkinkah wujudnya kelompangan bagi kalangan masyarakat dalam mendepani isu ini.

Justeru, Buletin Mutiara berkesempatan menemubual Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, ELMARIAH CHUNG untuk memahami secara lebih mendalam mengenai usaha-usaha serta strategi dilaksanakan agensi berkaitan dalam menangani isu ini khususnya di Pulau Pinang.

Strategi

Memulakan bicara, Elmariah memberitahu bahawa pada tahun 2021, tumpuan pihaknya adalah lebih terarah kepada pelaksanaan langkah-langkah pencegahan sebagai usaha untuk mengurangkan wujudnya penagih dadah baharu.

Beliau berkata, fokus itu adalah selari dengan tema sambutan Hari Antidadah Kebangsaan yang dipilih pada tahun ini iaitu “Lebih Baik Cegah”.

Tambah beliau, tema yang diangkat kali ini cukup signifikan dengan usaha-usaha yang telah dan bakal dilaksanakan oleh AADK dalam menangani masalah penyalahgunaan serta penagihan dadah di negara ini termasuk di Pulau Pinang.

“Kita akan menekankan konsep pencegahan bagi mengelakkan munculnya penagih-penagih dadah baharu selain mencegah mereka yang pernah terlibat dengan penagihan dadah kembali terjerumus dalam aktiviti ini.

“Di peringkat negeri Pulau Pinang, pelbagai aktiviti telahpun dirancang, cuma sekarang kita berdepan kekangan kerana penularan pandemic COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa.

“Jadi, pihak kami akan meneliti semula perancangan-perancangan ini agar sesuai untuk dilaksanakan dalam suasana normal baharu,” ujarnya mesra ketika ditemui Buletin Mutiara dekat Bangunan Persekutuan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Elmariah menyatakan bahawa sebagai agensi yang dipertanggungjawab, AADK telah merangka tiga strategi utama untuk menangani masalah ancaman dadah iaitu pencegahan dan kesedaran awam diikuti dengan rawatan serta pemulihan serta langkah penguatkuasaan dan keselamatan.

Elmariah Chung ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini.

“Bagi langkah pencegahan, kita sasarkan empat kumpulan utama iaitu pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), institusi kekeluargaan, pekerja dan majikan serta komuniti setempat.

 

“Ini adalah strategi yang diguna pakai yang mana kita akan mendekati kumpulan-kumpulan sasaran mengikut konsep pencegahan melalui pelaksanaan pelbagai program bersesuaian seperti kempen, ceramah serta pameran di sekolah-sekolah.

“Di peringkat sekolah rendah, kami ada program seperti ‘Pintar’, manakala bagi pelajar sekolah menengah yang berisiko pula kita laksanakan program ‘Shields’ dan di peringkat IPT juga kita ada program ‘Tomorrow Leaders’.

“Malah, kita (AADK) juga turut memberi tumpuan kepada institusi kekeluargaan melalui program ‘Family on Alert’ yang menyasarkan keluarga berisiko tinggi terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah,” jelasnya lanjut.

Cabaran

Elmariah memberitahu bahawa trend perubahan penagihan dadah daripada jenis konvensional seperti heroin dan ganja kepada dadah jenis sintetik (Amphetamine Type Stimulus, ATS) menjadi cabaran utama dihadapi pihaknya dalam usaha membanteras ancaman dadah di negara ini.

Tambah beliau, ia adalah berikutan penggunaan dadah jenis sintetik akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada individu termasuk masalah kecelaruan mental, sifat agresif dan akhirnya mendorong kepada perbuatan jenayah.

 

Jelas Elmariah, penggunaan dadah jenis ATS di negara ini semakin meningkat kerana ia sangat mudah untuk diproses selain senang didapati dengan harga lebih murah.

“Berdasarkan statistik AADK, pada 2019 misalnya menunjukkan pengambilan ATS seluruh negara adalah tertinggi iaitu sebanyak 64.5 peratus daripada sejumlah 142,199 penagih dadah yang dikenal pasti.

“Opiat dan ganja pula masing-masing pada kadar 30.6 dan 3.2 peratus manakala bakinya adalah dadah jenis pil spikotropik, candu serta lain-lain,” ulasnya.

Di Pulau Pinang sahaja katanya, sebanyak 44.6 peratus daripada 8,461 penyalahguna dan penagih dadah yang dikesan adalah dadah jenis ATS.

“Paling membimbangkan, golongan paling banyak yang terjebak dalam penyalahgunaan serta penagihan dadah adalah belia berumur antara 19 hingga 39 tahun.

“Pada 2018, seramai 54.5 peratus belia di negeri ini dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah dan meningkat kepada 56.8 peratus pada tahun 2019,” ulas beliau.

Komitmen tinggi Kerajaan Negeri

Bagaimanapun Elmariah menyatakan bahawa kes berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah di Pulau pinang keseluruhannya menunjukkan penurunan iaitu daripada 9,084 orang pada 2018 kepada 8,897 orang (2019) dan berada pada kedudukan kesembilan.

Ulas beliau, kadar penurunan tersebut adalah didorong oleh kerjasama yang padu daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kempen “Penang Lawan Ancaman Dadah” sebagai agenda dalam memerangi ancaman dadah.

“Di Pulau Pinang, kita bernasib baik kerana Kerajaan Negeri menunjukkan komitmen yang baik dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti peruntukan kewangan, fasiliti, khidmat nasihat serta tenaga kerja.

“Antara penglibatan Kerajaan Negeri adalah sokongan dan komitmen tinggi Y.A.B. Ketua Menteri dalam pelaksanaan program antidadah di peringkat negeri dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM66,000 untuk program rintis.

“Di samping itu, Y.A.B. Ketua Menteri turut memberikan peruntukan bagi tujuan pemasangan papan tanda di tujuh kawasan berisiko tinggi di negeri ini selain beliau sendiri mempengerusikan Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri.

“Selain itu adalah penglibatan berterusan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terlibat dengan memberi sokongan sama ada dalam bentuk kewangan, menyediakan kemudahan serta sumber manusia dalam menjayakan program-program antidadah.

“Tidak lupa juga peranan Pegawai Daerah sebagai penggerak utama program antidadah di peringkat daerah,” katanya.

Tegas Elmariah, segala usaha yang dirancang tidak akan mencapai hasil maksimum tanpa kerjasama dan sokongan daripada komuniti setempat.

Justeru, beliau menggesa komuniti agar lebih peka serta berani untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan isu-isu penyalahgunaan dan penagihan yang berlaku di kawasan masing masing.

“Saya juga mengharapkan semua pihak mengambil peranan untuk bersama-sama pihak kerajaan serta AADK dalam menangani masalah dadah kerana masalah ini bukan hanya isu individu sebaliknya menjadi isu sejagat,” serunya.

Bagi masyarakat yang ingin menyalurkan aduan boleh hubungi atau WhatApps di nombor AADK, iaitu :- 019-6262233.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN