AADK harap dapat saling bekerjasama dengan KN sedia ‘sistem sokongan lanjutan’ untuk bekas penagih, buka peluang pekerjaan dalam sektor swasta

GEORGE TOWN – Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Datuk Seri CP Zulkifli Abdullah berharap pihaknya dapat saling bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam menyediakan ‘sistem sokongan lanjutan’ untuk bekas-bekas penagih mendapat pekerjaan dalam sektor swasta, sekaligus tidak lagi terjebak dengan najis dadah.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya dekat Komtar pada 5 November 2019.

“Lebih 300 bekas penagih dadah akhirnya dimanipulasi dan menjadi penagih semula.

“Walaupun angka itu agak kecil di Pulau Pinang berbanding negeri-negeri lain, kita (AADK) perlu memikirkan ‘sistem sokongan’ (lanjutan).

“Mungkin kita (AADK) memerlukan pertolongan Kerajaan Negeri untuk berbincang dengan syarikat-syarikat swasta, bagi mendapatkan peluang pekerjaan buat mereka (bekas penagih).

“Daripada segi latihan kemahiran kepada bekas-bekas penagih, kita (AADK) bersedia untuk saling bekerjasama dengan syarikat-syarikat (yang sudi menyediakan peluang pekerjaan),” jelas Zulkifli sambil menyatakan bahawa Pulau Pinang ketika ini adalah negeri di kedudukan tangga keenam daripada segi jumlah penagih yang dilantih oleh AADK.

Penolong Pengarah Bahagian Rawatan dan Perubatan AADK Negeri Pulau Pinang, Ahmad Nazir Long turut sertai acara kunjungan hormat tersebut.

Selepas itu, rombongan AADK mengadakan mesyuarat dengan Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang di sini dengan dipengerusikan sendiri oleh Kon Yeow.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG