Abdul Malik tidak akan berganjak pertahan hak penduduk

ABDUL MALIK Abul Kassim mengemukakan bukti bergambar mengenai kumpulan pemuda yang terlibat dalam usaha mengusir penduduk Melayu Batu Maung berwajib di sini barubaru ini.
ABDUL MALIK Abul Kassim mengemukakan bukti bergambar mengenai kumpulan pemuda yang terlibat dalam usaha mengusir penduduk Melayu Batu Maung berwajib di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNPembangkang Pulau Pinang yang dibantu kira-kira 30 pemuda ala gangster dinasihat supaya “jangan main wayang” di sebalik insiden sekumpulan penduduk Melayu Batu Maung, Bayan Lepas yang diusir keluar dari kampong halaman mereka baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pembeli tanah, Datuk Ab. Wahab Ibrahim dinasihat supaya terlebih dahulu menjelaskan mengenai status Tanah pusaka berwajib yang kononnya telahpun dibelinya daripada pemilik asal Tanah tersebut.

“Selagi keraguan transaksi penjualan tanah Lot 781, Lot 776, GM 497 Mk 12 (dekat) Daerah Barat Daya, Pulau Pinang belum terungkai, saya tidak akan berganjak mempertahankan hak mereka (penduduk),” ujar beliau pada majlis sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Ab. Wahab yang juga bekas wakil rakyat UMNO dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Selangor turut dinasihat untuk bersemuka secara jujur dengan kesemua penduduk berwajib serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi merungkaikan masalah yang berlanjutan sejak 10 tahun lepas.

Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, beliau terpaksa campur tangan dalam masalah dihadapi rakyat di kawasan DUN diwakilinya demi memastikan mereka tidak dizalimi atau ditipu oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, Abdul Malik dilaporkan berdepan dengan tindakan ala samseng kira-kira 30 pemuda semasa cuba mempertahan hak penduduk berwajib di Batu Maung.

Abdul Malik mendakwa, pemuda-pemuda itu lengkap mamakai baju-t yang dikaburkan logo serta perkataan UMNO.

“Suasana agak tegang ketika itu, apabila pihak (pemuda) berkenaan berkeras untuk mengosongkan empat buah rumah penduduk yang membabitkan empat keluarga…sebahagian barang-barang telah dikeluarkan.

“Kekecohan itu terhenti kira-kira jam 1 petang apabila penduduk mendapat perintah injunksi Mahkamah sehingga 1 Oktober depan,” ujar Abdul Malik.

Dalam perkembangan sama, difahamkan, penduduk asal serta wariswaris tanah pusaka tersebut telahpun membuat beberapa laporan polis mengenai tindak tanduk pihak Ab. Wahab.

Dalam laporan polis, waris serta penduduk terbabit menyatakan bahawa transaksi penjualan tanah seluas 1.6 ekar tersebut dibuat tanpa persetujuan serta pengetahuan mereka.

Malah kata mereka, Mahkamah Tinggi Shariah Pulau Pinang yang mendengar kes tersebut sendiri pun masih belum memutuskan waris sebenar bagi Tanah pusaka itu.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 3 Mac tahun lepas turut membuat laporan polis supaya pihak tertentu yang didakwa melakukan unsur salah laku dan penipuan disiasat segera.

Lanjutan laporan itu, polis membuat “kaveat pendaftar” terhadap tanah-tanah berkenaan.

BAJU-t putih yang dipakai kumpulan pemuda berkenaan.
BAJU-t putih yang dipakai kumpulan pemuda berkenaan.