Abdul Rahman dapat rumah baru sempena 1 Syawal

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

SERI DELIMA – Kisah seorang orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahman Ibrahim, 56, yang memperoleh perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan kira-kira setahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila Kerajaan Negeri melalui Projek Ekonomi Khas (Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin) berjaya ‘menyumbangkan’ sebuah kediaman kepada beliau sebelum sambutan 1 Syawal di sini baru-baru ini.

Rumah bernilai RM40,000 tersebut dibina di tapak asal kediaman beliau di Kampung Sungai Gelugor di sini yang telah usang dan tidak lagi mampu dibaiki. Abang ipar kepada Abdul Rahman, Zambri Abd. Latif ketika ditemui mengucapkan rasa syukur di atas inisiatif Kerajaan Negeri berkenaan.

“Kerajaan Negeri pada hari ini adalah antara yang terbaik yang kita ada, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu Abdul Rahman,” ujarnya sambil mengalirkan air mata kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baru kepada Abdul Rahman ialah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh. Turut hadir, wakil Pejabat Daerah Timur Laut, wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan wakil Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Gelugor.

Rayer dalam pada itu turut melahirkan rasa syukur kerana rumah Abdul Rahman berjaya disiapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. “Rumah Abdul Rahman sebelum ini terlalu usang, justeru ‘kita’ telah robohkan dan bina yang baru agar beliau dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan selamat.

“Malah, sebagai tambahan, saya dan Ram (Karpal) juga berjanji akan menjadi penaja kepada majlis perkahwinan Abdul Rahman sekiranya beliau bertemu jodoh kelak,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berhubung pelaksanaan inisiatif berkaitan.

Mengulas lanjut, Afif menyatakan bahawa peranan Projek Ekonomi Khas di bawah Kerajaan Negeri adalah bertujuan mempertingkatkan ekonomi rakyat dengan saluran bantuan peralatan seperti mesin jahit, ketuhar dan lain-lain. Pada Ogos 2014, Rayer bersamasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (kini MBPP) dan JKKK Sungai Gelugor mengambil inisiatif membersihkan kediaman Abdul Rahman yang dipenuhi semak-samun melalui program gotong-royong khas.

Ekoran kediaman beliau yang terlalu usang, Rayer telah ‘menyerahkan’ nama beliau kepada Kerajaan Negeri melalui Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pembangunan Desa pada 2 September 2014.

Setelah memperoleh kelulusan pada Mei 2015, pihak berkaitan berjaya menyiapkan kediaman beliau pada 11 Julai 2015 iaitu lebih awal daripada tarikh asal, 3 Ogos 2015.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);