Isu loji kumbahan Bkt. Panchor perlu selesai segera

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi yakin bahawa cadangan penyelesaian dikemukakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Indah Water Konsortium (IWK) supaya menyelesaikan masalah loji-loji kumbahan yang tidak berfungsi secara jangka panjang dan bukannya bersifat sementara mampu mengatasi masalah pencemaran bau yang dihadapi penduduk sekitar kawasan perindustrian Bukit Panchor di sini.

Mengulas lanjut, ADUNnya, Soon Lip Chee menyatakan bahawa beliau dan JPS sebelum ini telah menulis secara rasmi kepada IWK untuk mempertimbangkan penyelenggaraan penuh loji berkenaan berserta cadangan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Ini kerana, sejak 16 minggu lalu, penduduk di sini terpaksa berdepan dengan masalah loji kumbahan yang tidak berfungsi sehingga menimbulkan rasa kurang senang.

“ Difahamkan , salah sebuah loji dari dua (loji) yang ada di sini sedang dalam proses pembaikan sejak tiga bulan lalu, manakala satu lagi (loji) akan diselenggara dalam tempoh terdekat dan akan selesai hujung tahun ini,” katanya pada sesi tinjauan ke loji kumbahan di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye dan Loh Joo Huat serta pegawai-pegawai dari JPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan IWK.

Menurut Lip Chee, masalah sama turut berlaku sekitar tahun 2013, walau bagaimanapun, masalah loji kumbahan yang melimpah pada masa itu berjaya diatasi.

“Air dari loji kumbahan disalurkan ke dalam parit milik JPS yang bersambung dengan Sungai Kerian bagi mengelakkan limpahan sehingga dikhuatiri menjadi penyebab kematian ikan-ikan, sekali gus menjejaskan hasil tangkapan nelayan di sini.

“Saya tidak mahu perkara ini berterusan dan menggesa supaya IWK dapat bertindak segera mencari penyelesaian kekal,” tegas beliau.

Selain itu, Lip Chee turut meminta JAS melaksanakan pengambilan ‘sampling’ air di kawasan tersebut secara berjadual bagi mengenalpasti punca pencemaran di Sungai Kerian dan kawasan sekitarnya.

“Masalah sebegini bukan sahaja akan menimbulkan rungutan daripada penduduk, tetapi turut mendatangkan bau yang tidak menyenangkan dan meloyakan.

“Oleh itu, saya tegaskan sekali lagi, IWK perlu mencari penyelesaian segera untuk jangka masa panjang demi kesejahteraan semua pihak.

“Saya juga akan bawa perkara ini untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang bagi memastikan isu loji kumbahan yang berlarutan ini dapat diselesaikan,” ujar beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);