Abdul Razak angkat sumpah jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Abdul Razak Jaafar mengangkat sumpah jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri pagi ini.

Abdul Razak melafazkan ikrar sumpah jawatan dan rahsia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kon Yeow sebelum itu dalam ucapannya berharap melalui pelantikan tersebut ia akan menggerakkan lagi jentera Kerajaan Negeri dan Exco untuk mencapai matlamat serta Visi Penang2030.

“Diharap dengan pelantikan ini, kita menunggu apa-apa cadangan dan pandangan untuk menggerakkan lagi jentera Kerajaan Negeri dan barisan Exco,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi sambil mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan kepada Abdul Razak di sini pagi ini.

Majlis turut disaksikan Exco-exco Kerajaan Negeri, ex-officio serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Pelantikan Abdul Razak yang berkuatkuasa 8 November lalu adalah bagi mengantikan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus yang bersara tetap baru-baru ini.

Selepas majlis tersebut, beliau dijadualkan menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang pertama hari ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING