Pelajar perlu cekal menuntut ilmu dalam menjamin masa depan yang cemerlang

PULAU BETONG – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menegaskan, dalam proses menuntut ilmu, seseorang pelajar itu harus mempunyai kecekalan diri yang utuh.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jati Diri Remaja Ideal anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Balik Pulau.

“Kita mesti ada kecekalan dalam menuntut ilmu dan belajar, kerana dengan ilmulah akan menjadikan diri anda semua lebih berjaya dan cemerlang.

“Walau macam mana pun keadaan anda sekarang, susah, senang, yatim, dan sebagainya kecekalan itu amat perlu dalam mengubah nasib diri kita kepada yang lebih cemerlang di masa hadapan dan menjadi waris kepada negara kita kelak,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen bagi kawasan Balik Pulau.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Ahli-ahli Jawatankuasa MPKK Simpang Empat dan guru-guru terlibat.

Mengambil kisah hidup beliau, Bakhtiar mengakui hidupnya bukanlah dari keluarga berada dan hanya dibesarkan di berek polis Jelutong yang cuma mempunyai satu bilik sahaja.

“Hasil daripada kecekalan saya untuk belajar, dapatlah saya jejakkan kaki ke Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran dengan biasiswa yang diberikan,” ujar Bakhtiar lagi.

Dalam ucapnnya, Bakhtiar turut berkongsikan beberapa cerita tokoh dan individu lain yang berasal dari keluarga yang daif namun berjaya menempa nama sebagai individu berjaya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GAmbar : IDZHAM AHMAD