Adaptasi Pelan Tindakan Seberang Perai Circular Economy demi kelestarian alam sekitar

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam menangani dan menambah baik pengurusan sisa pepejal melalui Pelan Tindakan Seberang Perai Circular Economy.

Justeru, beliau menyeru kepada penduduk di negeri ini khususnya warga Seberang Perai supaya mengadaptasikan model Circular Economy dalam kehidupan seharian sebagai menyokong usaha MBSP memelihara alam sekitar.

“MBSP menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang memperkenalkan Pelan Tindakan Circular Economy iaitu sebuah model penggunaan semula produk atau bahan mentah bagi mencegah pembaziran serta pelepasan buangan berbahaya ke tanah, air dan udara.

Ketua Menteri melancarkan Pelan Tindakan Circular Economy secara dalam talian di sini pagi tadi.

“Oleh itu, saya mengharapkan agar pelan tindakan ini dapat dilaksanakan dengan gigih dan berani supaya matlamat yang ditetapkan dapat dicapai pada akhir tempoh ini.

“Dengan model ini, saya berharap agar kita bukan sahaja dapat menyelamatkan bumi tetapi juga mengelakkan pembaziran serta meningkatkan pendapatan,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Seberang Perai Circular Economy secara dalam talian di sini sebentar tadi.

Turut serta, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Pada masa sama, Kon Yeow turut menyeru Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya meneroka penggunaan teknologi dalam pengurusan sisa pepejal demi kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah bagi mengurangkan penghasilan sisa organik yang merangkumi 40 peratus daripada sisa pepejal yang dibawa ke tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

“Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Pinang terkenal sebagai syurga makanan dalam sektor pelancongan dan 40 peratus daripada sisa sampah yang dibawa ke tapak pelupusan adalah sisa makanan atau sisa organik.

“Oleh itu, bagi memastikan sektor pelancongan seiring dengan kelestarian alam sekitar, saya menyeru agar MBSP meneroka penggunaan teknologi dalam projek-projek untuk menukar sisa pepejal menjadi sumber tenaga, protein serta kompos.

“Kaedah ini adalah bertepatan dengan Visi Penang2030 di bawah tema D iaitu melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan,” ujarnya.

Sr. Rozali Mohamud bersama-sama Ahli-ahli Majlis MBSP menunjukkan dokumen Pelan Tindakan Seberang Perai Circular Economy.

Dalam pada itu, Rozali memberitahu bahawa matlamat utama Pelan Tindakan Seberang Perai Circular Economy 2021-2030 adalah untuk menyediakan agenda berorientasikan masa hadapan bagi mencapai bandar lebih bersih dan kompetitif.

Menurt beliau, pelan tindakan berkaitan turut mengandungi lapan bidang keberhasilan utama (KRA) serta 27 program yang sedia untuk dilaksanakan.

“Lapan keberhasilan ini adalah berdasarkan hasil analisa soal selidik dilakukan oleh MBSP yang mendapati bahawa 34 peratus penduduk mahu tumpuan diberikan terhadap kebergantungan kepada tapak pelupusan.

“Kemudian, ia diikuiti oleh pengurusan sisa makanan (22 peratus), pengurusan sisa binaan (15 peratus), kitar semula dan industri upcycle (12 peratus), tenaga boleh diperbaharui (7 peratus), elektronik dan sisa berbahaya (5 peratus), plastik sekali guna (3 peratus) serta pengurusan air dan air sisa (2 peratus).

“Setiap KRA ini telah ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai mengikut tahun,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memaklumkan bahawa penduduk Seberang Perai berjaya mengurangkan penghasilan gas rumah hijau daripada 8 tan karbon dioksida (CO2) pada tahun 2017 kepada 6.31 tan atau 21 peratus pada 2020.

“Manakala kadar kitar semula pada tahun 2020 telah mencapai 55.91 peratus yang merupakan kadar pencapaian tertinggi di negara ini,” katanya.

Difahamkan, Pelan Tindakan Seberang Circular Economy adalah kesinambungan daripada Seberang Perai Circular Economy Roadmap 2021-2030 yang dilancarkan oleh Kon Yeow sendiri sempena sambutan Hari Badaraya MBSP pada tahun lepas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS