Pasukan bertindak khas, perkasakan komuniti strata urus COVID-19

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewujudkan pasukan bertindak khas melibatkan komuniti strata bagi memantapkan kesiapsiagaan dalam menghadapi dan mengendalikan krisis kesihatan di skim perumahan bertingkat di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sejak penularan pandemik COVID-19 pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah proaktif demi memastikan seluruh rakyat Pulau Pinang kekal selamat dan dilindungi termasuklah komuniti strata.

CHOW Kon Yeow.

Di Pulau Pinang, terdapat sebanyak 2,400 skim perumahan berstarata yang mana keseluruhannya mencecah 321,000 unit kediaman.

“(Dan) memandangkan kes positif harian di negeri ini masih tinggi, peranan semua pihak termasuk komuniti strata amatlah penting dalam usaha membendung virus ini daripada terus menular.

“(Maka), semua pihak yang tinggal di skim perumahan strata mempunyai tugas serta tanggungjawab masing-masing untuk memastikan skim perumahan strata di negeri ini bebas daripada jangkitan COVID-19,” ujarnya ketika merasmikan Program Webinar Pencegahan dan Respon Awal Komuniti Strata Lawan COVID-19 yang diadakan secara maya melalui platform Zoom di sini pagi ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh merangkap Ketua Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri (SERT); Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan barisan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Pengarah Pesuruhjaya Bangunan MBPP, Sr. Nik Ariff Long Dir; Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Lim Kheng Huat; Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kesihatan Pekerja dan Alam Sekitar, JKNPP, Dr. S. Gunenthira serta barisan Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) dan pengurus bangunan skim perumahan berstrata antara yang turut serta dalam sesi webinar pagi ini.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) secara percuma kepada penduduk di negeri ini melibatkan mereka dalam kalangan isi rumah B40.

“PKRCS ini secara tidak langsung membantu komuniti strata di skim perumahan kos rendah untuk menjalani kuarantin (menggunakan kemudahan tersebut).

“Malah, bersama-sama PgCare Alliance, komuniti sasar ini diperkasakan bagi menghadapi tempoh genting ‘melawan’ COVID-19 seterusnya melandaikan lengkuk jangkitan di negeri ini.

“(Dan) ini adalah hakikat yang perlu dihadapi yang mana Kerajaan Negeri menggemblengkan semua sumber dan tenaga (yang ada) demi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berharap dengan adanya pasukan bertindak khas ini, pengurusan COVID-19 melibatkan kes-kes positif dan kontak rapat dapat dikendalikan sebaiknya.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama erat dengan JKNPP dan Pejabat Daerah bagi mendapatkan senarai kes positif dan kontak rapat untuk diedarkan kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

(Dan) melalui inisiatif ini, wakil-wakil rakyat berkaitan maklum akan bentuk bantuan yang diperlukan sama ada bakul makanan, peranti oximeter atau penumpu oksigen.

“(Inisiatif) ini juga melibatkan komuniti strata yang mana kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan semua rakyat selamat,” ulasnya.

Dalam sesi sama, Jagdeep yang turut memberi respon berhubung kepentingan mewujudkan pasukan bertindak khas berkenaan.

“Negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor merupakan antara negeri yang mempunyai kediaman berstrata tertinggi.

JAGDEEP Singh Deo.

Kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT) juga telah menggariskan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian sepanjang tempoh pandemik ini melibatkan komuniti strata dan juga Pesuruhjaya Bangunan (COB).

“Saya harap dengan adanya program ini, pihak JMB, MC dan pengurus bangunan tahu untuk bertindak terutama melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kediaman berstrata masing-masing,” katanya.

Program webinar tersebut antara lain membincangkan mengenai kawalan penularan jangkitan COVID-19 di skim perumahan strata; pengurusan kes positif dan kontak rapat serta tatacara penggunaan peranti oximeter dan kit ujian pantas kendiri.

Sementara itu, Tung Seang dalam perkembangan berasingan, ketika mengulas mengenai usaha MBPP menjalankan saringan kendiri COVID-19 menggunakan kit ujian pantas antigen yang diadakan semalam (1 Oktober) memberitahu bahawa daripada 2,496 saringan seramai 12 individu dikesan positif.

“Saringan sama akan dilaksanakan untuk beberapa bulan ini bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus dilaksanakan sepanjang masa tanpa pincang,” tegasnya.

Difahamkan, mulai 1 Oktober 2021, MBPP mewajibkan semua anggota dan kakitangannya menjalani saringan kendiri dua minggu sekali bagi mengesan kes-kes positif tanpa gejala, seterusnya akan diisolasikan, dikuarantin dan diberikan rawatan sewajarnya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD