Adu kilang lepas gas tercemar tak relevan, respons Exco

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Aduan satu pihak mengenai Kilang Ruspert Eco Coating Sdn. Bhd. di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam melepaskan gas sehingga menjejaskan kualiti udara serta kesihatan beliau serumah adalah tidak relevan.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata demikian berdasarkan keputusan mesyuarat yang dipengerusi beliau sendiri pada 15 Mac lalu.

“Pelepasan gas oleh kilang Ruspert Eco Coating Sdn. Bhd. dekat Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam adalah mematuhi tahap yang ditetapkan di bawah Peraturan 13, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Ini, adalah hasil daripada pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JASPP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), yang sudah memastikan bahawa semua aspek berkaitan berada di bawah paras dibenarkan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, wakil MPSP, JASPP, DOSH, Biro Pengaduan Awam serta wakil Ruspert Eco Coating Sdn. Bhd. sendiri.

Menurut Boon Poh, pengadu dalam pada itu diberi masa selama 14 hari untuk melantik orang yang kompeten (OYK) bagi menjalankan ujian secara terperinci, demi memberikan pandangan kedua berhubung isu berbangkit tersebut.

“Sekiranya masih tidak berpuas hati, beliau (pengadu) boleh melakukan kajian sendiri.

“Tetapi, perunding yang dilantik mestilah dalam kalangan mereka yang bertauliah,” ujarnya sambil memberitahu bahawa pihaknya memandang serius mengenai dakwaan isu pencemaran udara akibat sisa buangan toksik berkaitan.

Tambah Boon Poh, pengadu juga sebenarnya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya beliau masih berpendapat bahawa kualiti udara di sekitar rumahnya mengandungi toksik, sepertimana didakwa sebelum ini.

“Tapi, setiap kali kami menjemputnya (pengadu) ketika mesyuarat, dia (pengadu) tidak hadirkan diri,” jelasnya.

Difahamkan, pengadu pada 11 Mac 2015 serta 26 Mac tahun sama ada membuat aduan berwajib di JASPP, sambil menggesa jabatan kerajaan terbabit segera membuat siasatan lanjut.

Pada 27 Januari lalu, semua pihak terbabit menghadiri mesyuarat susulan yang dipengerusikan oleh Boon Poh, kecuali pengadu berkenaan walaupun dijemput untuk turut serta.