Insiden tumpahan minyak selesai, harap jangan sensasikan isu

Admin

GEORGE TOWN – Insiden tumpahan minyak yang mencemari pesisir pantai sejauh 12 kilometer (km) dari Prai Bulk Cargo Terminal (PBCT), Pelabuhan Prai sehingga ke Tanjung Bunga selesai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, operasi pembersihan tumpahan minyak secara rasminya selesai selepas pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi operasi tersebut berjaya membendung dan membersihkan ia.

“Saya amat berpuas hati dengan usaha dan tindakan pantas pihak berkuasa termasuk Jabatan Laut Wilayah Utara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penang Amazing Race anjuran bersama Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) dan Goche Corporation Sdn. Bhd. (Goche) di Fort Cornwallis, 30 Mei lalu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin dan Ketua Pegawai Eksekutif Goche, Eugene Goh.

Menurut laporan APMM, JAS menerima makluman berhubung insiden tumpahan minyak pada jam 8.05 pagi, 28 Mei lalu dipercayai berpunca dari sebuah kapal tangki minyak yang berlabuh di Perlabuhan Prai.

Kata laporan itu lagi, dalam tempoh 24 jam selepas insiden yang dianggap sebagai ‘krisis’ pencemaran laut itu, tumpahan minyak dapat dikawal dan dibersihkan sepenuhnya menggunakan aset pesawat udara dan bot Jabatan Laut Wilayah Utara dan APMM.

Guan Eng dalam pada itu berharap agar pihak media tidak lagi mensensasikan insiden tersebut dengan mendakwa ia berpunca dari kerja-kerja penambakan laut.

“Ia (tumpahan minyak) telah selesai dan kapal tersebut juga dikesan untuk siasatan lanjut JAS dan pihak berkaitan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.