Aduan pelanggan mampu cetus inovasi kerja, 85.32%selesai

SEBERANG JAYA – Aduan pelanggan yang diterima secara positif mampu mencetuskan budaya inovatif dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sendiri, walaupun ada sesetengah masalah yang diterima dianggap sukar untuk diselesaikan.

Justeru, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menggesa semua ketua jabatan di pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan supaya cekap menguruskan aduan, yang dianggap sebagai kunci kepada proses penyampaian perkhidmatan berkualiti.

“Melalui aduan yang diterima juga, ia dapat menjadi sumber mencetuskan inovasi membuat perubahan-perubahan positif oleh kita semua (MPSP).

“Aduan-aduan yang masih dalam tindakan jabatan mestilah diselesaikan segera,” ucapnya pada majlis Perhimpunan Korporat di perkarangan Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Menurut Maimunah, sebanyak 85.32 peratus atau 8,381 daripada 9,824 keseluruhan aduan diterima dari Januari hingga Oktober lalu telahpun berjaya diselesaikan oleh MPSP.

“Manakala, baki 14.68 peratus atau 1,443 aduan lagi masih dalam tindakan jabatanjabatan berwajib,’’ jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Maimunah turut menggesa kakitangan MPSP supaya meningkatkan profesionalisme, dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta mematuhi peraturan sebagai kakitangan perkhidmatan awam.

Beliau memberitahu, seramai 14 kakitangan tetap telahpun dikenakan tindakan tatatertib dalam tempoh bulan Januari hingga 31 Oktober lalu, manakala, 109 kakitangan kontrak lain telahpun ditamatkan perkhidmatan atas pelbagai jenis pelanggaran tatakelakuan.

“Kakitangan yang bermasalah haruslah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Pelantikan & Tatatertib agar ia tidak menjadi barah yang sukar untuk diatasai.

“Tindakan tatatertib merupakan jalan terakhir diambil pihak pengurusan bagi menangani masalah mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang,” tegas Maimunah.

Serentak itu, beliau turut menggesa ketua-ketua jabatan supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap kakitangan yang dinilai ‘bermasalah’.

}