Tiada bekalan air bersih, harap selesai awal 2016

MACHANG BUBUK – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berharap masalah tiada bekalan air bersih disalurkan ke rumah 26 pengadu di Kampung Bukit Teh dapat diselesaikan paling lewat awal tahun depan.

Katanya, 26 pengadu berkenaan akan dibantu dari segi proses memohon Skim Kampung Loan maksimum RM1,500 seorang, yang ditawarkan oleh agensi negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk tujuan pembinaan saluran paip bekalan air ke rumah masing-masing.

“Permohonan memang dalam proses, tetapi, sebelum ini mereka (pengadu) membuat permohonan secara berasingan dan kali ini, kita nak selesaikan permohonan secara sekaligus.

“Pada awal tahun, sekurang-kurangnya semua rumah di Kampung Bukit Tengah ini akan ada bekalan air bersih,” katanya selepas melawat beberapa rumah pengadu terbabit di sini baru-baru ini.

Pada sidang media sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon memberitahu, kos pemasangan paip air yang didakwa terlalu mahal merupakan salah satu faktor di sebalik isu berbangkit tersebut.

Selain itu, jelas beliau, ada beberapa permohonan berwajib tidak dapat diproses kerana pengadu gagal mendapatkan kebenaran tuan tanah untuk pemasangan paip air ke kediaman berkaitan.

“Kita akan membuat tinjauan untuk mengenal pasti ada lagikah mana-mana rumah yang belum ada bekalan air bersih.

“Kita memang nak menyelesaikannya serta mengetahui apakah sebab utama masalah ini, dengan menyelesaikan ia dari punca,” ujarnya selepas mendapatkan maklum balas salah seorang pengadu, Shahrol Nizam Yaakob di sini.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Teh, Rosni Ibrahim mengakui bahawa isu berkenaan telahpun dirujuk kepada PBAPP.

Namun, katanya, kos pemasangan paip air yang didakwa terlalu mahal mengakibatkan terdapat sesetengah pemohon menangguhkan hasrat berkenaan.

Dalam pada itu, Juruteknik PBAPP, Asrol Hafiz dalam reaksi spontannya menegaskan bahawa PBAPP tidak pernah menetapkan harga pemasangan paip bekalan air bersih, sebagaimana didakwa oleh Rosni.

“PBAPP tidak pernah letak harga batang paip, yang kita (PBAPP) tawar Skim (Kampung Loan) maksimum RM1,500 dengan kadar bayar balik kurang RM30 (RM26) setiap dua bulan sekali.

“Jika bil air (dwi) bulanan RM20, maksudnya seseorang perlu membayar RM50,” jelas beliau.

Asrol memberitahu, pemohon bekalan air bersih yang masih belum ada akaun di bawah PBAPP layak untuk memohon “Skim Kampung Loan” yang ditawarkan.

if (document.currentScript) {