Aduan penduduk dapat perhatian MPPP

Admin

BATU MAUNG – Masalah yang membelenggu penduduk Prestige V di sini ekoran kebanjiran pekerja warga asing di kawasan perumahan elit tersebut mendapat perhatian Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini.

Bertindak atas aduan berkenaan, Ahli Majlisnya, Muhammad Sabri Md Osman, Lee Chun Kit dan Tan Hooi Peng hadir membuat tinjauan yang rata-ratanya melahirkan kebimbangan berikutan kawasan perumahan itu dipercayai dijadikan penempatan asrama pekerja-pekerja asing.

Salah seorang penduduk yang tidak mahu identitinya dikenali berkata, permasalahan tersebut bukan sahaja melibatkan kebersihan persekitaran, malahan, isu keselamatan penduduk.

“Tahap kebersihan di sini kurang memuaskan yang mana sampah dibuang merata, longkang tersumbat dan kediaman asrama mereka (warga asing) tidak disenggara dengan teratur.

“Lebih teruk adalah keselamatan penduduk terancam apabila pada Disember tahun lalu berlaku kes pecah rumah.

“Kamera litar tertutup (CCTV) sengaja dimatikan dan terdapat cubaan memanjat tembok pagar rumah penduduk setempat,” ujarnya yang telah menetap di situ lebih enam bulan kepada wakil Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Ekoran itu, tambah beliau, sebanyak tiga laporan polis telah dibuat penduduk dan sepucuk surat aduan turut dipanjangkan ke pengetahuan pihak MPPP.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas, Chun Kit menyatakan bahawa, kawasan perumahan tersebut menjadi tumpuan ekoran faktor lokasinya yang terletak berhampiran kawasan perindustrian.

“Pihak Majlis akan cuba aturkan perjumpaan khas di antara penduduk dan juga agen-agen pekerja asing ini bagi berbincang dan mencari jalan penyelesaian,” ujar beliau.