ADUN Air Itam belanja 200 durian premium hargai anggota barisan hadapan komuniti lokal

Admin
99a154e7 32fe 49d9 a13a 20f29fc7468d GAMBAR kenang-kenangan sebelum berlangsungnya acara jamuan buah-buahan tempatan di Balai Bomba Paya Terubong pada lewat petang tadi.

PAYA TERUBONG – Meneruskan tradisi sempena musim buah-buahan tempatan yang sedang memuncak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soo Siang meraikan sekalian wira tidak didendang masyarakat dalam majlis kenduri durian santai yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dekat sini.

Sebanyak 200 biji durian premium daripada pelbagai varieti terkenal seperti Udang Merah, Duri Hitam dan Musang King, selain lambakan manggis serta rambutan dihidangkan khusus buat menghargai jasa anggota Jabatan Bomba dan Sukarela Malaysia (JBSM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pemimpin komuniti setempat.

e2e791b4 39b0 4a01 b102 4df9f3aeb7de
JOSEPH Ng Soo Siang

Semasa berucap, beliau berkata acara jamuan buah-buahan yang anjurkan itu hanya sumbangan kecil jika dibandingkan dengan jasa barisan petugas barisan hadapan khususnya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dan Kawasan Parlimen Bukit Gelugor.

“Hari ini kita tidak payah berkhidmat atau bekerja, sebaliknya pada hari ini kita hanya ditugaskan untuk gunakan mulut untuk merasai buah-buahan durian yang telah disediakan,” seloroh Joseph Ng dalam ucapannya yang disambut dengan hilai tawa para hadirin.

Selain itu, beliau berkata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sememangnya berhasrat untuk menyertai acara jamuan di sini pada petang ini, namun beliau terpaksa memenuhi tanggungjawabnya menghadiri persidangan di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihak Pengarah Sunshine Central Paya Terubong, Dato’ Hwang Thean Long banyak memberi sokongan kepada Pusat Khidmat Rakyat ADUN Air Itam dalam menganjurkan program-program peringkat komuniti lokal sejak tahun 2018 lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap komuniti lokal dapat menyertai program derma darah yang dijadualkan berlangsung di pusat membeli-belah tersebut pada 5 Julai 2026 (mulai 10 pagi hingga 4 petang) bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapatkan sekurang-kurangnya 200 beg darah.

Berucap sebelum pada itu, Ketua Balai Bomba Paya Rerubong, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPGB) Muhamad Yassir Adnan merakamkan penghargaan atas penganjuran acara makan buah-buahan tempatan di sini.

Penghulu Air Itam, Nasrizal Nasib antara pemimpin negeri yang hadir ke majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN