TELUK AIR TAWAR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mempergiat usaha advokasi awam berhubung pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil menerusi program pengedaran risalah kepada orang ramai sebagai persediaan penguatkuasaan yang bermula 1 Julai 2026.
Ahli Majlis bagi MBSP, Ooi Yong Wooi berkata, pelaksanaan PKM merupakan pendekatan baharu yang memberi penekanan kepada pendidikan dan pembentukan sikap masyarakat, selain menguatkuasakan undang-undang berkaitan kebersihan awam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Cadangan Pemakaian Garis Panduan Pelaksanaan PKM bagi Kesalahan Pembuangan Sampah Kecil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 6 Mei 2026, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya di seluruh negeri mulai 1 Julai 2026.
“Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, mampan dan lestari, selain diperkukuh menerusi pewartaan Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 [Akta A1772] dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 [Akta A1773],” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengedarkan risalah berkaitan pelaksanaan PKM di Robina Eco Park dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan barisan kakitangan MBSP.



Sebagai persediaan, MBSP telah mengambil pelbagai langkah termasuk melatih 100 Pegawai Penguat Kuasa melalui kursus berkaitan tatacara pendakwaan dan pelaksanaan PKM, meluluskan 119 lokasi pelaksanaan PKM di seluruh Seberang Perai, menyediakan 26 unit kamera badan untuk pegawai penyiasat serta melengkapkan kit penguatkuasaan, prosedur operasi standard (SOP) dan dokumen sokongan berkaitan.
Di samping itu, MBSP turut memperhebat hebahan kepada masyarakat melalui media sosial rasmi, pengedaran risalah dan pelbagai program advokasi bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai pelaksanaan PKM.
Antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan termasuk membuang puntung rokok, tisu, plastik, botol, pembungkus makanan dan sampah ke dalam longkang atau parit, meninggalkan sampah di taman awam, pantai, kawasan rekreasi, membuang sampah dari dalam kenderaan serta meninggalkan sisa makanan selepas berniaga di kawasan awam.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau diperintahkan menjalani PKM selama maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Kegagalan mematuhi perintah mahkamah pula boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mengulas lanjut, Yong Wooi berkata hukuman berbentuk khidmat masyarakat itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya mendidik pesalah supaya lebih menghargai kepentingan menjaga kebersihan awam serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap persekitaran.
Beliau berkata, kerja-kerja PKM akan dilaksanakan di 119 lokasi yang telah diluluskan melibatkan jalan awam, bahu jalan, longkang, taman rekreasi, padang permainan dan kawasan komersial, termasuk aktiviti pembersihan jalan, longkang, taman, pasar awam, pusat penjaja, gotong-royong komuniti serta program pendidikan kesedaran awam.
“MBSP berharap pelaksanaan PKM mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebersihan awam, mengurangkan kesalahan pembuangan sampah kecil serta membudayakan amalan sivik yang lebih bertanggungjawab demi memastikan Seberang Perai terus kekal bersih, hijau, mampan dan berdaya huni,” ujarnya.