ADUN anjur perayaan tanglung 20 September ini

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BATU LANCHANG– Satu perayaan tanglung kanak- kanak akan diadakan di Medan Letak Kereta Pasar Awam Batu Lanchang pada 20 September depan.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Law Heng Kiang berkata, perayaan itu dianjurkan secara bersama dengan Pusat Khidmat Kadun Batu Lanchang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Lanchang.

“Penyertaan terhad kepada 500 peserta kanak- kanak berumur 14 tahun dan ke bawah dengan sekali pendaftaran setiap seorang.

“Pihak penganjur berharap dapat menarik 1,000 pengunjung untuk memeriahkan perayaan tanglung ini,” ujar beliau pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, setiap peserta yang berdaftar akan diberikan makanan ringan dan tanglung secara percuma oleh pihak penganjur.

Sebelum itu, beliau turut menjelaskan mengenai aturcara program perayaan tersebut.

“Perayaan ini akan dimulai dengan pendaftaran dan pengagihan tanglung kepada kanak-kanak sebelum perarakan mengelilingi Medan Letak Kereta Pasar Awam Batu Lanchang bermula.

“Pengunjung juga dapat menyaksikan pertunjukan akrobatik daripada sebuah kumpulan yang di bawa dari Shanghai,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Pejabat ADUN Batu Lanchang, 332F-3 Jalan Perak, 11600 Jelutong atau hubungi 04-282 6419 untuk maklumat lanjut.