KN sedia RM20 juta selenggara flat rakyat – Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan geran tahunan sebanyak RM3 juta bagi tujuan pengecatan serta penyelenggaraan semula bangunan perumahan rakyat di negeri berkenaan.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri bakal menganggung 80 peratus kos mengecat semula bangunan berwajib, manakala, baki 20 peratus lagi akan ditanggung oleh persatuan penduduk sendiri.

Sebagai permulaan, beliau berkata, Blok A1, A2 dan A3 Flat Tuna dipilih sebagai projek perintis di bawah Kerajaan Negeri. “Kali terakhir kawasan (perumahan) ini dicat adalah pada tahun 1992.

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini boleh dilakukan dengan lebih cepat kerana Dr. Afif sendiri bersedia mengeluarkan peruntukan bagi menanggung 20 peratus kos penyelenggaraan sebagai program CSR (tanggungjawab sosial korporat) beliau di kawasan ini,” ujar Jagdeep semasa melawat kawasan cadangan penyelenggaraan tersebut bersama-sama Dr. Afif di sini baru-baru ini.

Dr. Afif Bahardin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Abdul Jalil Che Ros. Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat berkata, pihaknya berharap lebih banyak wakil rakyat sanggup mengeluarkan peruntukan masing-masing sebagaimana insiatif Dr. Afif bagi memulihara kawasan kediaman rakyat.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut menempelak Datuk Musa Sheikh Fadzir gara-gara Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang itu menuduh pemajuan rumah mampu milik bukan keutamaan bagi Kerajaan Negeri.

Jagdeep berkata, kira-kira 20,000 rumah mampu milik pelbagai kategori dengan harga seunit antara RM72,500 hingga RM400,000 akan dibina di Pulau Pinang.

Sebelah pulau, katanya, 1,900 unit rumah mampu milik dibina di Jalan S.P. Chelliah, Teluk Kumbar (696 unit) dan Jelutong (556 unit).

Itu, katanya lagi, tidak termasuk sebelah Seberang Perai, iaitu 11,800 di Batu Kawan, Ampang Jajar (1,634 unit), Off Jalan Berapit (1,000 unit), Bukit Juru (800) dan Kampung Jawa dekat Butterworth (707 unit).

“Kalau nak tuduh Pulau Pinang tidak memberi keutamaan pada pembinaan rumah mampu milik pun, sekurang- kurangnya buatlah kajian terlebih dahulu.

“Beliau sepatutnya bercakap berdasarkan fakta, bukan cakap kosong disebabkan PAU (Pemilihan Agung Umno) semakin dekat,” tegas Jagdeep menyangkal kenyataan Musa baru-baru ini.