ADUN Pulau Tikus cadang strategi ekopelancongan premium lindungi hutan simpan negeri

Admin
img 20260512 wa0142

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng mencadangkan supaya Kerajaan Negeri meneroka Strategi Pembangunan Ekopelancongan Premium atau Premium Ecotourism Development Strategy (PEDS) bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi ekopelancongan premium.

 

Beliau berkata, Pulau Pinang memiliki lebih 6,500 hektar hutan simpan kekal yang diwartakan dan aset semula jadi tersebut perlu dimanfaatkan secara lestari tanpa menjejaskan ekosistem sedia ada.

 

Menurut beliau, beberapa destinasi antarabangsa seperti Mandai Wildlife Reserve, Kepulauan Anambas dan Phobjikha Valley membuktikan bahawa pemuliharaan alam, pendidikan serta pelancongan premium boleh digabungkan dalam satu ekosistem yang diurus secara bertanggungjawab.

 

“Pulau Pinang perlu mengkaji model ini secara serius dengan tujuan untuk membuka ruang kepada pembangunan terkawal di dalam hutan simpan.

 

“Sebaliknya, ia bertujuan membangunkan ekoinap desa premium berkepadatan rendah di pinggir kawasan hutan rizab atau kawasan biosfera yang sesuai sebagai pintu masuk terkawal kepada pengalaman alam semula jadi Pulau Pinang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan Yang Dipertua Negeri, TYT Tun Ramli Ngah Talib pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.

 

Sze Zeng berkata, strategi tersebut boleh menyokong pelbagai aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi termasuk ‘rainforest walk’, pemerhatian burung, pendidikan biodiversiti, ‘forest bathing’, program kesihatan alam semula jadi dan pelancongan konservasi.

 

Akses mesti dikawal, jumlah pelancong mesti dihadkan dan kawasan rizab mesti terus dilindungi.

“Pemuliharaan tidak boleh bergantung kepada larangan semata-mata kerana ia juga memerlukan kesedaran, pendidikan dan pembiayaan,” tegasnya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa Pulau Pinang tidak sepatutnya ‘menjual’ hutannya, sebaliknya menawarkan pengalaman premium yang mampu membantu membiayai perlindungan kawasan rizab semula jadi.

 

Jika dilaksanakan dengan betul, pelancongan ekologi premium boleh menjadi alat pembiayaan konservasi.

 

“Ia boleh membantu membiayai pemulihan hutan, penyelenggaraan laluan, pemantauan biodiversiti, pendidikan alam sekitar dan peluang ekonomi kepada komuniti tempatan,” tambahnya lagi.

 

Menurut beliau, Pulau Pinang yang selama ini terkenal dengan warisan, makanan, industri dan budaya juga perlu dikenali sebagai destinasi ekopelancongan premium bertaraf antarabangsa.

 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menjalankan kajian kebolehlaksanaan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Penang Green Council, Penang Global Tourism, pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat serta pemain industri pelancongan.

 

Katanya, antara lokasi yang boleh dipertimbangkan termasuk Pulau Kendi, Teluk Ketapang, Pulau Jerejak, Bukit Bendera dan Cherok To’kun.

 

“Namun, setiap lokasi perlu dinilai secara berhati-hati berdasarkan daya tampung ekologi, kesesuaian akses, impak kepada komuniti setempat, potensi pendidikan alam sekitar dan keupayaan menjana hasil konservasi jangka panjang.

 

“Prinsipnya mesti jelas iaitu setiap pembangunan perlu berkepadatan rendah, terkawal dan mengutamakan pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar serta manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.

 

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT