ADUN Bagan Jermal terkejut tanah lapang jadi sarang biak nyamuk aedes

Admin

BAGAN JERMAL – Tanah lapang diceroboh serta dijadikan kebun haram berhampiran Taman Bagan Jermal yang disangka sarang ular, rupa-rupanya menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Selepas meninjau tanah milik persendirian itu, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal meminta pegawai pemantau kesihatan untuk mengambil sampel air daripada 12 bekas takungan air hujan di kawasan berkenaan, untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, Lip Chee turut meminta Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong supaya mengatur kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit sesegera mungkin.

“Memang tak salah simpan air hujan dalam bekas untuk sirap tanaman, tapi biarkan air hujan ‘tak bergerak’ akan menyebabkan jentik-jentik membiak jadi nyamuk aedes,” katanya kepada pemberita sejurus tinjauan pagi ini dekat sini.

Jelasnya, cadangan untuk mengenakan kompaun kepada individu yang didakwa menceroboh tanah persendirian tersebut serta tuan tanah persendirian iaitu sebuah syarikat pemaju tempatan akan dipertimbangkan kelak.

Bercakap pada sidang media sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bagan Jermal, Abdullah Koson, 42, memberitahu pihaknya sejak dua tahun lepas lagi telahpun menasihati individu yang menceroboh tanah persendirian tersebut, namun, langsung tidak diendahkan.

Lalu, pihak persatuan penduduk mengambil keputusan melaporkan isu berbangkit itu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN Bagan Jermal baru-baru ini.

“Isu ini telahpun lama, kita juga telahpun berikan teguran, tapi disebabkan pihak terbabit tidak endah, jadi saya memanjangkan isu ini kepada MPSP dan kepada pejabat YB (Lip Chee).

“Semalam, lain yang kita tinjau (iaitu ular) tapi lain yang kita jumpa, dan pada pagi ini kita jumpa begitu banyak bekas takungan air bersih yang menjadi sarang pembiakan jentik-jentik.

“Di kawasan ini kita ada 1,323 unit rumah (meliputi) Taman Bagan Jermal dan Vista Perdana…di Surau Bagan Jermal yang dijadikan Madrasah Tahfiz Fathul Ulum ini didiami 30 murid dan lima tenaga pengajar.

“Jadi, kita boleh membayangkan andai wabak denggi terjadi maka puncanya adalah daripada sarang pembiakan jentik-jentik di sini,” katanya sambil menyatakan sokongan penuh pada Kerajaan Negeri dalam memerangi nyamuk aedes dan wabak denggi.

Sementara itu, pegawai pemantau kesihatan memberitahu dalam kes sebegini, selalunya kerja-kerja pembersihan tanah lapang berkenaan serta pengasapan (fogging) dilakukan secara serta-merta dalam tempoh kurang 24 jam memandangkan prosedur mengenal pasti dalang untuk tujuan kompaun akan mengambil masa lebih lama.

Dalam perkembangan sama, Chee Seong memberitahu, berdasarkan laporan statistik kes denggi Daerah Seberang Perai Utara (SPU) terbaru menyaksikan terdapat dua kes denggi direkodkan di Bagan Jermal bagi tempoh 1 hingga 18 Mei 2019, bukanlah kawasan ‘hotspot’ wabak.

“Kes demam denggi bertahap tinggi pada awal tahun 2019 berbanding dengan tahun lepas (2018) (adalah di kedudukan) pada masa yang sama, ia merupakan ekoran daripada situasi hujung tahun 2018 yang semakin meningkat.

“Kes denggi menurun mulai selepas minggu kedua dan bilangan kesnya lebih kurang sama dengan tahun-tahun sebelum ini,” jelasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD