Peranan PBAPP jamin bekalan air terawat untuk rakyat sangat besar – Exco

Admin

SUNGAI DUA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerana berjaya memastikan bekalan air terawat senantiasa cukup untuk keperluan rakyat di negeri ini.

Sejak 2008 lagi, katanya, Pulau Pinang berjaya mengekalkan dasar ‘Tiada Catuan Air’ walaupun ada beberapa kali musim kemarau panjang melanda.

“Semua ini adalah disebabkan oleh pengurusan sumber bekalan air secara strategik oleh PBAPP.

“Tugas kita di sini dalam menjaga sumber air terawat telah membolehkan jutaan rakyat Pulau Pinang menikmati bekalan air bersih dan ia merupakan peranan yang sangat besar bagi saya,” ujarnya dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Kakitangan PBAPP di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini lewat petang tadi.

Justeru, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PBAPP berharap Ketua Divisyen Sumber Manusia, Mohamad Zulkifli Abdul Hamid dapat mengatur lebih kerap majlis interaktif dua hala membabitkan kakitangan agensi negeri berkenaan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD