ADUN bantu penuhi keperluan pasukan barisan hadapan

Admin

PADANG LALANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng menyumbangkan 215 unit pelindung muka bagi kegunaan pasukan barisan hadapan Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) dalam usaha merawat pesakit COVID-19.

Katanya, sumbangan tersebut diserahkan kepada Pegawai Kesihatan Darah SPT, Dr. Noraishah Jaafar selepas permohonan dikemukakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah SPT.

Anggota MPKK kawasan KADUN Bagan Lalang bersama-sama membantu membuat pelindung muka sendiri dengan bantuan pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah SPT.

“Fungsi pelindung muka adalah untuk melindungi pemakai daripada sebarang bahaya seperti unsur jangkitan, percikan kimia dan sebagainya.

“Ia diberikan kepada pasukan barisan hadapan kita supaya mereka dapat melindungi diri ketika merawat pesakit terutamanya pesakit COVID-19,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Dalam pada itu, Chong Eng yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam memaklumkan bahawa pihaknya juga sedang menggerakkan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan untuk bersama-sama membantu membuat pelindung muka sendiri dengan bantuan pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah SPT.

“Saya berasa bangga atas kerjasama ditunjukkan semua pihak dalam memastikan keselamatan pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus melawan penyakit ketika ini.

“Semoga penyakit ini mampu dibanteras secepat mungkin dengan bantuan semua pihak,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN