Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang : 2,000 penjaja berlesen di bahagian pulau diminta hubungi MBPP segera

Admin

GEORGE TOWN – Baki hampir 2,000 penjaja berlesen di kawasan pulau diminta menghubungi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) secepat mungkin bagi membolehkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang disalurkan pada minggu pertama April ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, setakat ini seramai 5,841 penjaja berlesen di kawasan pentadbiran MBPP telah berbuat dimikian.

“Pihak Majlis telah membuat semakan silang (cross checking) terhadap penjaja dan peniaga kecil berlesen.

“Di mana setakat ini seramai 5,841 atau 84 peratus daripada 6,957 orang telah mengemukakan maklumat akaun bank masing-masing.

“Manakala, pengemaskinian maklumat penjaja yang diperolehi melalui WhatsApps sejumlah 1,105 kini dalam peringkat semakan akhir melalui pengkalan data pelesenan MBPP,” jelas beliau pada sidang media di sini pagi tadi.

Bagi pakej bantuan tunai one-off RM500 kepada penjaja dan peniaga kecil berlesen, Kerajaan Negeri melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM7 juta yang akan memanfaatkan 14,012 peniaga kecil dan penjaja di seluruh Pulau Pinang.

Jagdeep memberitahu bahawa, sebahagian daripada kos (RM7 juta) tersebut, sebanyak RM6,640,500 akan diagihkan kepada penjaja dan peniaga kecil berlesen di bawah kelolaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala bakinya adalah untuk penjaja pasar tani dibawah FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).

“Pihak PBT akan menyalurkan bantuan tunai secara one-off RM500 ini melalui EFT ke akaun bank penjaja dan peniaga kecil berlesen masing-masing pada minggu pertama April sebaik sahaja pengesahan maklumat dibuat,” ujarnya lanjut.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi MBPP di talian 04 – 263 7000 (24 jam) dan MBSP di talian 1-800-88-6777 (Toll Free 24 jam) atau 04- 269 6969 (pada hari bekerja Isnin hingga Jumaat, Jam 7:30 pagi hingga 5:30 petang).

Dalam perkembangan sama, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, turut memaklumkan bahawa seramai 4,791 pekerja di bawah kedua-dua PBT ditugaskan di Skuad Khas COVID-19.

“Demi menghargai jasa dan sumbangan petugas barisan hadapan, Kerajaan Negeri akan menyalurkan insentif khas secara one-off berjumlah RM300 kepada setiap seorang daripada mereka.

“Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM1.4 juta, dia ia akan disalurkan mulai April ini,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHRISTOPHER TAN