ADUN ‘belanja’ RM115,705 demi rekreasi rakyat

BATU LANCANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Law Heng Kiang membelanjakan sejumlah RM115,705 untuk menaiktaraf beberapa taman rekreasi termasuk menyediakan kemudahan asas dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat di kawasannya di sini.

Heng Kiang ketika ditemui berkata, seperti taman-taman rekreasi lain, beliau memperuntukkan RM12,773 dan RM10,600 masing-masing bagi pemasangan alatan senaman di laman senaman Taman Kejiranan Lorong Gemilang dan Taman Sentral.

“Malah bagi mengindahkan panorama di Taman Ghee Hiang, sambil melakukan s e n a m a n , pengunjung khususnya boleh beristirehat di gazebo yang baharu dibina.

“Semua ini adalah untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat terjamin, di samping memenuhi keperluan serta permintaan rakyat,” katanya ketika hadir merasmikan gazebo baharu di Taman Ghee Hiang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, Jefff Ooi Chuan Aun, Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong dan Harvindar Singh serta penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Heng Kiang memberitahu bahawa, selain menyediakan kemudahan di taman-taman rekreasi, pihaknya juga telah menaiktaraf tandas di 35 unit rumah di pangsapuri kos rendah MBPP di sini.

“Selain itu, sejumlah RM26,182 turut diperuntukan bagi pemasangan alat pemadam kebakaran di Flat Jalan Kurau dekat Taman Koperasi Jelutong di sini,’’ jelas beliau yang juga Exco Pembangunan Pelancongan.