ADUN Berapit hasrat lancar kempen Tak Pasti, Jangan Bayar, lepas kena ‘scam’ barang misteri

img 5290 HENG Lee Lee (kanan) bersama-sama peguamnya, Low Yu Jo dalam sidang media berkaitan di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Berapit di sini pada 28 April 2026.

BERAPIT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee menggesa orang ramai agar lebih berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian setelah beliau sendiri menjadi mangsa pembelian bungkusan misteri secara bayar waktu terima (BWT) pada Ahad lepas.

Beliau mendedahkan bahawa bungkusan tersebut yang bernilai RM49 dihantar ke Pusat Khidmat Rakyat ADUN Berapit di sini, walaupun barangan di dalamnya langsung tidak menyerupai apa yang dipesan menerusi platform e-dagang.

Menurut Lee Lee, risiko serta trend penipuan melalui BWT bagi ‘bungkusan misteri’ memang patut diberi perhatian serius apabila perincian data peribadi mudah diakses oleh ejen penjual e-dagang serta ejen pengantar barang (kurier).

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa data peribadi saya telah diceroboh dan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar bungkusan yang tidak dibeli ini.

“Jadi, saya nak buat pesanan dan ingatkan orang ramai, kalau menerima apa-apa bungkusan yang meragukan atau tidak pasti betul seperti barang yang kita telah beli secara dalam talian, jangan terus membuat BWT; sebaliknya tunggu dua atau tiga hari (untuk membuat silang semak) sebelum berurusan dengan ejen pengantar barang.

“Saya akan cuba fail kes ini kepada Tribunal Pengguna; dengan pengalaman menuntut balik bayaran atas transaksi palsu ini, mungkin akan membantu saya membuat kempen penerangan kepada komuniti,” katanya dalam sidang media bersama-sama peguam bertauliah, Low Yu Jo di sini pada 28 April 2026.

Bimbang sindiket penipuan dan jenayah e-dagang daripada berulang kepada komuniti lokal yang lain, Lee Lee berhasrat untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) setempat dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk melancarkan kempen kesedaran berkaitan.

“Saya berminat membuat kempen kesedaran melalui JPWK setempat dan mungkin akan mencadangkan kepada pihak Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng supaya kempen kesedaran ini dijadikan sebahagian aktiviti sampingan di bawah agensi negeri itu memandangkan ramai wanita merupakan pengguna platform e-dagang yang pelbagai,” jelasnya lagi.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pernah mendedahkan suatu laporan statistik menunjukkan lonjakan kes yang tinggi berkaitan jenayah e-dagang bagi tahun 2025.

Menurut sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 13,979 kes dilaporkan bagi sepanjang tahun lepas, dengan peningkatan sebanyak 82 peratus berbanding tahun 2024 (7,662 kes).

Kerugian akibat penipuan e-dagang pula direkodkan mencecah RM129 juta pada 2025, iaitu meningkat 83 peratus berbanding RM70 juta pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula direkodkan menerima lebih 33,400 aduan penipuan dalam talian, sejak tahun 2023 hingga Februari tahun iniz

Menurut sumber kementerian, penipuan atas talian (termasuk barang tidak diterima, harga mengelirukan, dan barang tidak seperti dipesan) adalah kekal sebagai kategori aduan paling banyak dalam bidang kuasa KPDN.

Ditanya lanjut, Yu Jo berkata bagi mereka yang menjadi mangsa penipuan jenayah e-dagang seperti Lee Lee, opsyen yang ada antaranya membuat aduan kepadaTribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Bagi kes penipuan atau jenayah e-dagang seperti yang dialami oleh YB (Heng Lee Lee) ini, memang boleh membuat aduan kepada TTPM kerana nilai yang dituntut di bawah ambang RM50,000.

“Tuntutan boleh dibuat kerana dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kejadian atau transaksi tersebut berlaku,” jelasnya sambil memberitahu bahawa kos pemfailan aduan kes juga adalah semurah RM5 serta tidak memerlukan khidmat guaman.

Selain itu, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya memanfaatkan laman SemakMule yang dibangunkan oleh PDRM untuk membuat silang semak berkaitan kedai dalam talian terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang transaksi lanjut, bagi mencegah daripada menjadi mangsa jenayah e-dagang.

Berita & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB