Kapasiti efektif tiga empangan utama di Pulau Pinang stabil

img 20260428 wa0029

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif tiga empangan utama di Pulau Pinang berada paras normal berdasarkan bacaan setakat jam 4 petang hari ini.

Menurut catatan di laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), paras air di Empangan Air Itam berada pada paras 55.20 peratus, Empangan Teluk Bahang (74.60 peratus) dan Empangan Mengkuang (90.30 peratus).

img 20260428 wa0036img 20260428 wa0024

Walau bagaimanapun, kapasiti efektif air di beberapa Empangan negeri Kedah membabitkan Empangan Mudan dan Empangan Beris menunjukkan bacaan kritikal dengan masing-masing pada paras 18.8 peratus dan 51.71 pera0tus.

Pada 24 April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan berkata Empangan Sungai Muda kini berdepan kekangan untuk melepaskan lebih banyak air ke dalam sistem Sungai Muda berikutan kapasiti efektif yang semakin merosot.

Sehubungan itu, beliau berkata PBAPP memohon campur tangan segera daripada SPAN serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi menguruskan situasi semasa.

“PBAPP menegaskan bahawa keselamatan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat di Pulau Pinang dan Kedah perlu diberi keutamaan berbanding urusan pengairan dalam keadaan kritikal ini,” ujarnya.

Menurut Pathmanathan, tanpa taburan hujan yang mencukupi, Empangan Beris dan Empangan Muda mungkin tidak dapat diisi semula bagi menyokong sistem Sungai Muda yang merupakan satu-satunya sumber utama air mentah bagi Pulau Pinang.

img 20260428 wa0039

“Sekiranya PBAPP tidak dapat mengabstrak air mentah dari Sungai Muda setiap hari, gangguan bekalan air berskala besar boleh berlaku di seluruh negeri dan menjejaskan kira-kira 465,000 pengguna termasuk sektor industri dan perhotelan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau memngingatkan bahawa sebanyak 10 Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah turut bergantung kepada pelepasan air mentah dari Empangan Beris yang berada di hulu muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang.

“Bagi menangani kekurangan bekalan, PBAPP akan mematuhi Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 (SMCP 2026) dengan memaksimumkan pengambilan air mentah dari Sungai Muda serta menampung kekurangan melalui pelepasan simpanan dari Empangan Mengkuang yang Diperbesar (EMD).

“Namun begitu, kapasiti maksimum pelepasan EMD pada masa ini hanyalah 600 juta liter sehari (JLH), sedangkan LRA Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,300 JLH untuk menghasilkan bekalan air terawat yang mencukupi.

“PBAPP akan berusaha sedaya upaya mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang baik di Pulau Pinang, namun keupayaan ini adalah terhad oleh kapasiti pelepasan maksimum EMD,” jelasnya lagi.

Justeru, beliau merayu agar SPAN dan PETRA mengambil tindakan segera termasuk mengehadkan pelepasan air bagi tujuan pengairan dari sistem Sungai Muda buat masa ini.

“Kelangsungan bekalan air kepada rakyat perlu menjadi keutamaan tertinggi sehingga empangan utama kembali pulih dengan kehadiran hujan yang mencukupi,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS