ADUN Berapit syor Kerajaan Negeri pulihara kembali Rumah Rehat Bukit Mertajam

Admin

GEORGE TOWN – Rumah Rehat Bukit Mertajam yang tidak diselenggara lebih 10 tahun wajar dinaik taraf oleh Kerajaan Negeri hari ini supaya boleh digunakan oleh rakyat terutama penduduk lokal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata demikian semasa membahaskan ucapan perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 31 Mei 2022.

“Saya telah membangkitkan perkara ini sejak persidangan (Dewan Undangan Negeri, DUN) lepas lagi.

“Keadaan Rumah Rehat Bukit Mertajam sekarang, bumbung pun pecah, mungkin menunggu masa untuk dirobohkan sahaja…warga penduduk Bukit Mertajam sangat mengambil berat mengenai perkara ini.

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menghidupkan semula Rumah Rehat BM (Bukit Mertajam) bagi manfaat warga Bukit Mertajam,” jelasnya kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga ADUN Sungai Bakap.

Baginya, langkah Kerajaan Negeri memelihara dan memulihara kembali Rumah Rehat Bukit Mertajam itu sekali gus mewujudkan daya tarikan pelancongan pada kawasan pekan lama tersebut.

Pada 30 November tahun lepas, Lee Lee dilaporkan melahirkan kebimbangan terhadap rumah rehat yang terbengkalai lebih sedekad.

Berucap di DUN Pulau Pinang, beliau berkata pihaknya percaya bahawa bangunan lama rumah rehat tersebut bakal menjadi tarikan lokal yang unik, memandangkan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) ada cadangan untuk memanfaatkan kawasan lapang di sana.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : LAW SUUN TING