Gesa Kerajaan Pusat wujudkan akta atasi masalah penyewaan rumah kos rendah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan digesa untuk meminda atau mewujudkan akta yang boleh menangani masalah penyewaan unit rumah kos dan sederhana rendah kepada pihak ketiga.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, langkah tersebut adalah penting bagi memastikan rumah-rumah bersubsidi dimiliki dan dihuni oleh kumpulan yang benar-benar layak.

“Kerajaan Negeri kerap kali menggesa Kerajaan Persekutuan agar aspek perundangan diteliti, dipinda atau diwujudkan bagi menangani masalah penyewaan unit kediaman kos rendah dan kos sederhana rendah kepada pihak ketiga.

“Pada 22 Februari 2017, Kerajaan Negeri telah mengemukakan Usul Bersama yang ditandatangani oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan tentang keperluan pindaan atau mewujudkan akta berkaitan.

“Usul tersebut adalah untuk menggesa agar aspek perundangan diteliti, dipinda atau diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

Jelas Jagdeep, sehingga kini masih tiada sebarang klausa di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) atau mana-mana peruntukan undang-undang yang mensyaratkan unit kediaman temasuk kos rendah dan sederhana rendah perlu dihuni oleh pemilik.

“Sehubungan dengan itu, tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil ke atas pemilik yang menyewakan unit kediaman mereka kepada pihak ketiga sama ada dalam kalangan warganegara atau pekerja asing.

“Susulan itu, kita mengemukakan cadangan supaya Jadual G dan H dokumen piawai perjanjian jual-beli di dalam Akta 118 dipinda bagi menghalang pemilik daripada menyewakan unit kediaman mereka,” gesanya yang juga ADUN Datok Keramat.

Pada masa sama kata Jagdeep, Kerajaan Negeri mensyaratkan keperluan untuk menandatangani akujanji dalam borang permohonan rumah mampu milik Kerajaan Negeri untuk mendiami unit sebagai langkah proaktif bagi menangani masalah tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & DARWINA MOHD. DAUD