BERTAM – Sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun sehingga tahun 2023, dengan 17,646 kes atau 39.8 peratus melibatkan remaja yang tidak berkahwin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan perkara itu berdasarkan laporan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa merasmikan Program Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) untuk Ibu Bapa Tahun 2025 yang diadakan di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pulau Pinang, di sini pada 30 Oktober 2025.
Menurut beliau, dunia siber kini menjadi medium utama rujukan remaja, namun pada masa sama turut mendedahkan mereka kepada kandungan berbahaya seperti pornografi, perkhidmatan seks dalam talian serta risiko antunan seksual (sexual grooming) dan pelbagai lagi gejala sosial yang tidak sihat.
“Oleh itu, usaha menangani isu-isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
“Adalah tidak wajar untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak semata-mata, sebaliknya, kita semua harus berganding bahu memainkan peranan masing-masing demi kesejahteraan generasi muda dan masa depan negara,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar forum seumpama ini dapat diperluas ke peringkat akar umbi komuniti dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri.
Turut hadir, Pengarah LPPKN Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah yang mewakili Ketua Pengarah LPPKN Malaysia, Dato’ Abdul Shukor Abdullah.
Dr. Azura berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN komited melaksanakan Program PEKERTI yang merangkumi tiga modul teras, iaitu:
>Modul Tepat, Komprehensif dan Berkesan (ACE)
>Modul Khas untuk Remaja Lelaki
>Modul Cakna Diri Edisi Ibu Bapa
“Modul ACE amat relevan kerana ia mengambil kira isu-isu seksual semasa, termasuk aspek perundangan berkaitan keganasan seksual dan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seksual.
“Modul khas untuk remaja lelaki pula bertujuan meningkatkan sikap tanggungjawab dan pembentukan jati diri dalam kalangan mereka yang berumur 16 tahun ke atas.
Manakala Modul Cakna Diri Edisi Ibu Bapa dibangunkan khas untuk memperkasakan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mengenai kesihatan reproduktif dan seksualiti,” jelasnya.
Tambah beliau, modul tersebut turut menjadi panduan penting kepada ibu bapa dalam memahami perkembangan fisiologi dan psikososial remaja.
Dr. Azura turut menzahirkan penghargaan atas sambutan menggalakkan apabila program kali ini menerima lebih 400 penyertaan, berbanding sasaran asal 300 orang.
Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Zulkhairi Zainal antara yang turut serta dalam forum ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS