Lanjut moratorium antara langkah KN sejukkan pasaran hartanah – Exco

GEORGE TOWN – Pelanjutan serta pewujudan tempoh moratorium ke atas penjualan unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A, B, dan C di negeri ini merupakan antara langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam memastikan pasaran hartanah di Pulau Pinang ‘disejukkan’.

Demikian ujar Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sebagai menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Abdul Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, pelanjutan moratorium bagi unit RMM A dan B adalah dari tarikh pembelian kali pertama, manakala pewujudan moratorium RMM C, bermula dari tarikh pembelian prinsipal.

“Pelanjutan moratorium penjualan unit RMM A yang dulunya dikenali sebagai Kos Rendah dan B (Kos Sederhana Rendah) dilanjutkan kepada tempoh 10 tahun berbanding lima tahun bermula dari tarikh pembelian kali pertama.

“Berlainan dengan RMM C, pewujudan moratorium penjualan adalah lima tahun dari tarikh pembelian prinsipal,” jelasnya.

Tambah Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat, langkah-langkah lain yang diperkenalkan untuk menyejukkan pasaran termasuk pengenaan fi kelulusan ke atas transaksi pembelian oleh warga asing dan penjualan hartanah.

“Pengenaan fi kelulusan sebanyak tiga peratus ke atas harga transaksi pembelian oleh warga asing dan dua peratus ke atas penjualan hartanah yang dibeli tidak melebihi tempoh tiga tahun dari tarikh pembelian prinsipal,” ujarnya.

Penjelasan Jagdeep itu sebagai menjawab pertanyaan Jahara berhubung isu harga perumahan yang meningkat secara mendadak di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai sebuah negeri pelaburan, yang mana ramai pelabur datang termasuk membeli hartanah di sini.

“Di bawah sebuah sistem ekonomi pasaran terbuka, permintaan untuk sesuatu produk itu akan mendorong kenaikan harganya, dan memandangkan ramai pelabur yang ingin melabur di sini termasuk membeli hartanah, maka hakikatnya harga perumahan meningkat naik,” kata beliau