ADUN cadang tubuh suruhanjaya bebas untuk mengkaji syor ke arah desentralisasi kuasa lebih adil

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung mencadangkan supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan di peringkat negeri bagi mengkaji syor-syor desentralisasi kuasa yang boleh dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, penubuhan suruhanjaya bebas tersebut penting dalam memacu pembangunan Pulau Pinang yang lebih mampan selain memastikan pengagihan kuasa yang lebih adil, saksama dan berkesan pada masa akan datang.

“Semasa pertukaran kerajaan, salah satu janji di dalam manifesto Pakatan Harapan adalah untuk mengembalikan roh federalisme iaitu untuk mengagihkan lebih banyak kuasa di peringkat Persekutuan kepada negeri-negeri.

“Justeru, saya mencadangkan supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji dan memberi syor-syor bernas kepada Kerajaan Negeri yang seterusnya diangkat kepada kerajaan Persekutuan untuk dibincangkan.

“Ini adalah supaya negeri boleh mendapatkan semula apa yang sepatutnya, demi manfaat rakyat Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini sebentar tadi.

Turut serta, ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Kebun Bunga, Ong Khan Lee; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Bukit Tambun, Gooh Choon Aik serta ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin.

Mengulas lanjut, Hsiao Leung berkata, Kerajaan Pakatan Harapan juga memberi jaminan untuk meneliti semula perkara 9, Perlembagaan Persekutuan termasuk bidang kuasa yang boleh diturunkan kepada Kerajaan Negeri seperti aspek pentadbiran pengangkutan, kebajikan, perkhidmatan sosial, pertanian dan perlindungan alam sekitar.

“Dan menurut perjanjian (Perkara 9) itu juga, untuk membiayai kuasa-kuasa yang diturunkan kepada Kerajaan Negeri, sebanyak 10 peratus cukai pendapatan akan dipulangkan kepada negeri di mana tempat pembayar cukai bermastautin,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam jawapan ringkasnya pada sesi perbahasan pagi ini menyatakan bahawa ketika ini, sebanyak 50 peratus atau bersamaan RM10 juta daripada cukai pelancongan akan dikembalikan semula kepada Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING