ADUN Jawi bentang kad laporan prestasi diri

Admin

JAWI – Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye bagi membantu meningkatkan kecemerlangan kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang Jaya.

Menurut Mooi Lye, antara program yang telah dijalankan adalah tuisyen percuma anjuran Penggerak Komuniti Muda (PEKA) Pulau Pinang kepada calon-calon bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), bagi subjek Sains dan Matematik.

Terbaru, Pejabat KADUN Jawi juga kini dalam permohonan untuk membina penutup parit di hadapan sekolah, bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pembangunan yang akan dijalankan tidak lama lagi.

“Kami di Pejabat (Pusat Khidmat Rakyat) KADUN Jawi senantiasa berkhidmat kepada sekolah serta masyarakat.

“Justeru, harapan saya adalah segala usaha yang dibuat turut menyumbang kepada kecemerlangan sekolah,” jelasnya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya di sini pada 27 April 2019.

Difahamkan, kejohanan tersebut adalah anjuran SK Keledang Jaya bersama-sama ahli jawatankuasa kerja Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Pada program itu juga, Mooi Lye turut membentangkan kad laporan kerja khusus untuk Sekolah Rendah Keledang Jaya, sempena usia setahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Antara program lain yang berjaya dijalankan adalah:

• Ceramah pencegahan wabak Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), anjuran bersama Pusat Pakar Perubatan Bagan

• Program Sainstis Muda anjuran bersama Tech Dome Pulau Pinang di Dewan JKKK Taman Jawi Jaya

• Sumbangan Baucer Zakat RM150 kepada lebih 40 pelajar terpilih tiap-tiap tahun (sejak tahun 2017 hingga 2019)

• Sumbangan batu kasaran, pasu bunga besar, cat, pasir dan permaidani kepada pihak sekolah

• Sumbangan kaca mata kepada pelajar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta dengan potongan harga kepada guru dan waris.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: PEJABAT ADUN