ADUN Datok Keramat tekad selesai masalah banjir kilat

Admin
JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) dan Izwan Nizam abdul Kadir (kanan sekali) meninjau keadaan sungai yang menjadi punca banjir kilat di Kampung Kebun Lama di sini.
JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) dan Izwan Nizam Abdul Kadir (kanan sekali) meninjau keadaan
sungai yang menjadi punca banjir kilat di Kampung Kebun Lama di sini.

DATOK KERAMAT – Sejak berpuluh-puluh tahun lamanya, kejadian banjir kilat di Kampung Kebun Lama seolah menjadi suatu ‘kebiasaan’ kepada penduduk yang menetap di sini.

Namun, berlainan pula tanggapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo sejak empat tahun lalu yang melihat perkara tersebut bukan sesuatu yang perlu ‘dibiasakan’ penduduk.

Sebaliknya, ia adalah masalah yang perlu diselesaikan kerajaan memerintah.

Menurut Jagdeep, sejak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) memerintah Pulau Pinang, masalah banjir kilat sudah dapat diselesaikan sejak dua tahun lalu berbanding kerajaan sebelum ini yang gagal melaksanakannya dalam tempoh bertahun-tahun.

“Namun, ekoran jumlah hujan yang turun agak luar biasa dan fenomena air laut pasang pada bulan Jun, Julai dan Ogos lalu, ia telah menyebabkan limpahan Sungai Pinang naik setinggi 2.9 meter,’’ katanya kepada Buletin Mutiara yang mengadakan tinjauan khas ke Kampung Kebun Lama di sini baru-baru ini.

Ekoran itu, Jagdeep bertekad memp e r c e p a t k an usaha pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa II (dari kedai kereta Toyota Sungai Pinang ke Dhoby Ghaut).

“RTB Fasa II perlu untuk disiapkan secepat mungkin bagi memberi laluan kepada Fasa III yang mungkin dilaksanakan tahun hadapan,’’ ujarnya.

Jelas Jagdeep, bagi persediaan musim monsun kali ini iaitu pada bulan Oktober lalu, November d an Disember, projek mendalamkan sungai-sungai giat dijalankan dan kesediaan pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) adalah amat diharapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sebagai tambahan, JPS dan MPPP turut bersetuju menambah kekerapan membersihkan kawasan sungai dari tempoh sebulan sekali kepada dua minggu sekali,’’ kata Jagdeep.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK)Izwan Nizam Abdul Kadir, 34, menyatakan bahawa dua tahun lalu, penduduk di sini lega dengan inisiatif yang diambil pihak Kerajaan Negeri.

“Namun, kini masalah lama kembali disebabkan faktor-faktor cuaca yang tidak dapat dielakkan.

“Sekurang-kurangnya, ada usaha daripada pihak Kerajaan Negeri bagi membantu kami disini, ’’ katanya sambil memaklumkan bahawa kejadian banjir kilat pada Ramadhan lalu telah menenggelamkan 17 buah rumah di sekitar kawasan tersebut.

Bagi Abdul Wahab Ismail, 65, beliau turut memaklumkan kesedihannya melihat rintihan sesetengah penduduk yang mengalami kerugian seperti pakaian ‘dirosakkan’ air bah.

“Kereta dan motorsikal sesetengah penduduk dimasuki air. Ada juga pakaian sekolah anak-anak dan buku sekolah rosak akibat terkena air banjir dan tidak dapat digunakan lagi,” jelasnya.