ADUN harap aktiviti tanam pokok dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar

BAGAN JERMAL – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee berharap agar aktiviti penanaman pokok di sekolah berjaya menyemai dan memupuk semangat kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.

Katanya, intipati daripada program itu sendiri adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang menghargai, menghormati serta memelihara ekosistem sekaligus dapat mewujudkan persekitaran hijau, bersih dan sihat.

“Program ini juga adalah selaras dengan hasrat Pulau Pinang untuk menjadi negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Hari ini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menyumbangkan sebanyak 1,100 batang pokok bunga untuk menghijaukan persekitaran padang rekreasi Taman Dahlia.

“Oleh itu, kerjasama semua pihak amat penting untuk menghias persekitaran trek joging dan Padang Rekreasi Taman Dahlia dengan aktiviti menanam pokok bunga bagi mewujudkan suasana persekitaran yang segar dan mesra,” ujarnya ketika berucap pada program Menghijaukan Padang Rekreasi sempena Hari Malaysia 2019 dekat Taman Dahlia, di sini pada 14 September lalu.

Hadir sama, Ahli Majlis MBSP, Khong Chee Seong dan K. Kumaran; Pengerusi Persatuan Rekreasi Muda Dan Jasmani Bintang Harapan Pulau Pinang, Ong Teng Hooi; Penolong Bendahari Persatuan Rekreasi Muda Dan Jasmani Bintang Harapan Pulau Pinang, Anson Cheah dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Simpah, Tee Chun Chai.

Mengulas lanjut, Lip Chee berkata usaha-usaha untuk menghijaukan kawasan persekitaran boleh dijadikan satu medium pendidikan di luar bilik darjah.

“Bunga dan pokok yang ditanam ini boleh dijadikan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran untuk para pelajar di sekolah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Chee Seong yang turut berucap berkata, Sempena Hari Malaysia tahun ini aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja untuk menghijaukan alam sekitar malah bertujuan memupuk semangat bersepadu dalam kalangan masyarakat.

“Tanggungjawab memelihara alam sekitar dengan mengamalkan konsep 4R iaitu fikir (rethink), kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle) bagi menguruskan proses pelupusan sisa buangan bukan sahaja membantu memelihara kebersihan dan kecantikan alam sekitar, tetapi juga sangat menyeronokan dan mampu memberikan kepuasan,” jelasnya.

Difahamkan, seramai 40 orang pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Jermal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mak Mandin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mak Mandin (SJKT) Mak Mandin menyertai program tersebut.

Sebanyak 10 spesies pokok bunga yang ditanam adalah Bunga Raya, Bunga Ruellia, Setawar Halia, Bunga Akar Kuning, Kelat Paya, Jejarum Merah, Jejarum Kuning, “Ruby Leaf”, “Mexican Heather” dan “Variegated Croton”.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN