Datuk Bandar MBSP hasrat tukar parit monsun Taman Komuniti seindah sungai Cheong Gye Cheon di Korea Selatan

SUANANA kemerlapan indah di pintu masuk Upcycle Park pada majlis acara pencerahan Koridor Hijau sempena pemahsyuran MBSP di sini pada 17 September 2019.

 

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sendiri melepaskan kira-kira 200 ekor ikan talapia merah ke dalam parit monsun bersebelahan Upcycle Park, pada acara kemuncak program pencahayaan Koridor Hijau sempena pemasyhuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini.

DATUK Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan)  diiringi Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr. Rozali Mohamud melepasan kira-kira 200 ikan talapia merah yang disumbangkan oleh kakitangan PBT berkenaan sendiri, ke tasik Upcycle Park di sin pada lewat petang tadi.

Turut serta, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Buletin Mutiara, Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pentadbirannya berhasrat membersihkan air parit monsun di Taman Komuniti sepanjang 1,175 meter (m) agar seindah Sungai Cheong Gye Cheon dekat negara Korea Selatan.

“Dua dari tiga komponen projek bagi Koridor Hijau di sini boleh dikatakan berjaya direalisasikan (iaitu) Upcycle Park oleh ‘Wira Oren’ (pekerja bahagian pembersihan).

“Taman Tasek Tecoma pula, pokok-pokok disumbangkan oleh sektor korporat seperti syarikat pemaju, juga Ahli-ahli Majlis MBSP serta penduduk…ada 700 pokok Tecoma (Tabebuia spp.) yang ditanam sempena Hari Kebangsaan ke-60 pada 27 Ogos 2017 dalam Program Penanaman serentak 3,000 Pokok Tecoma di seluruh Seberang Perai.

“Ada satu projek lagi akan kita laksanakan di Koridor Hijau di sini (iaitu) kita (MBSP) nak ubah parit monsun (Taman Komuniti) berhampiran masjid di sini menjadi kawasan tarikan pengunjung yang indah dan bersih.

“Sebagaimana sungai yang kotor, air sungai Cheong Gye Cheon kemudiannya bertukar menjadi begitu indah dan bersih, mengalir air sungai di tengah-tengah ibu kota Seoul dari barat ke timur, kita (MBSP) juga nak mengubah keadaan parit monsun di Taman Komuniti supaya dapat menjadi satu lagi tarikan baharu bagi MBSP,” jelasnya semasa ditemui pada program berkenaan, semalam.

SUASANA pencahayaan di Upcycle Park MBSP.
FOOD Truck Carnival membabitkan penjaja dari golongan B40 dan M40 dilangsungkan serentak bersama-sama acara pencahayaan Koridor Hijau terutama Upcyle Park berhampiran Kompleks Ibu Pejabat MBSP dekat Bandar Perda di sini, lewat petang tadi.

Difahamkan, pada tahun 2003 Datuk Bandar Seoul, Lee Myung-Bak melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan semula sungai Cheong Gye Cheon sepanjang 8.4 kilometer (km).

Dalam tempoh dua tahun sahaja, sungai Cheong Gye Cheon muncul sebagai tarikan baharu pengunjung tempatan dan pelancong asing ke bandar raya tersebut.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD