ADUN harap pembinaan Pasar Awam Teluk Kumbar dapat disegerakan

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menyeru Majis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menyegerakan pembinaan Pasar Awam Teluk Kumbar yang telah tertangguh sejak sekian lama.

Beliau berkata, pembinaan projek berkepentingan rakyat tersebut amat penting dan menjadi keutamaan kepada penduduk dan peniaga di kawasan Teluk Kumbar.

“Sepatutnya ia diteruskan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan bertarikh 2 Julai 2019 yang telah memuktamadkan reka bentuk pasar dan memutuskan pelaksanaan projek ini diteruskan.

“Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis terbaru yang diberikan pada sidang kali ini memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak ada niat untuk menghentikan projek ini dan ia akan ditender sekali lagi pada November 2020.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa sebarang cubaan untuk memanggil satu lagi proposal permohonan cadangan (RFP) adalah langkah terkebelakang dan akan memakan masa panjang selain meningkatkan kos yang tidak perlu.

“Jika RPF dibuat, adakah kita bersedia untuk menanti dan melalui proses yang sama dengan jangka masa Panjang sehingga empat tahun lagi?” soalnya semasa sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14, semalam.

Justeru, beliau memohon kepada Kerajaan Negeri untuk terus memantau perkembangan projek tersebut agar dapat dilaksanakan secepat mungkin demi manfaat penduduk setempat.

“Dengan adanya pasar ini akan memberikan pulangan balik kepada ekonomi negeri dan juga bertepatan dengan fokus Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Azrul Mahathir menyambut baik pengumuman Ketua Menteri berhubung pembinaan Klinik Kesihatan Bayan Lepas yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas dan sekitarnya.

“Diharapkan klinik baharu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan mencukupi seperti mesin pengimbas (X-ray), tambahan mesin ultrabunyi serta doktor-doktor yang mempunyai pelbagai kepakaran,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD