Bekalan air di Pulau Pinang cukup untuk keperluan rakyat 

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa bekalan air di negeri Pulau Pinang masih lagi mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

Beliau berkata, pembekalan air bagi tahun 2018 dan 2019 masing-masing adalah sebanyak 391.5 juta meter padu dan 398.8 juta meter padu manakala permintaan air bagi kedua-dua tahun berkenaan masing-masing 306.5 juta meter padu dan 307.5 juta meter padu.

“Bagi tahun ini pula, pembekalan air yang disalurkan kepada penduduk di Pulau Pinang sehingga Ogos lalu adalah sebanyak 270.3 juta meter padu air iaitu melebihi kadar permintaan iaitu 209.7 juta meter padu.

“Setakat ini, pembekalan air adalah melebihi permintaan. Oleh itu, pembekalan air masih mencukupi untuk keperluan rakyat di negeri ini,” jelasnya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14, semalam.

Mengulas mengenai keperluan Kerajaan Negeri meneruskan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), Zairil memberitahu bahawa pelaksanaan projek tersebut adalah penting sebagai pemangkin ekonomi negeri pada masa akan datang.

“Projek PSR adalah penting sepertimana Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang dibangunkan pada tahun 70-an bersama-sama dengan Bayan Baru.

“Tanpa Bayan Lepas, sudah tentu Pulau Pinang tidak akan mencapai kejayaan pada hari ini sebagai antara negeri paling maju, berdaya saing dan berdaya huni di negara ini.

“Maka dengan semangat yang sama, projek PSR telah digagaskan oleh Kerajaan Negeri,” ulasnya lagi.

Difahamkan, projek PSR bakal melibatkan keseluruhan tambakan lebih kurang 4,500 ekar dengan dibahagikan kepada tiga pulau.

Sementara itu, semasa menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor, Zairil berkata bahawa Kerajaan Negeri mengutamakan keselamatan air bagi memastikan bekalan air yang berterusan di negeri ini.

“Lebih daripada 80 peratus air mentah di negeri ini adalah berasal dari Sungai Muda yang mana sungai ini hanya berupaya memenuhi keperluan air mentah bagi Pulau Pinang sehingga tahun 2025.

“Pelaksanaan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWS) pula belum dilaksanakan dan perbincangan masih mencapai jalan buntu dan keadaan ini memerlukan kita mencari sumber air baru.

“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah memulakan tiga rancangan kontigensi untuk mengurangkan risiko bekalan air mentah di negeri ini,” katanya.

Difahamkan bahawa ketiga-tiga rancangan kontigensi tersebut berada di bawah Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) pihak perbadanan tersebut.

Zairil berkata, rancangan pertama adalah pembinaan modul rawatan air 114 juta liter sehari (MLD) baharu di Loji Rawatan Air Sungai Dua.

“Rancangan kedua adalah Skim Bekalan Air Sungai Perai (SPWSS) yang akan memanfaatkan Sungai Perai sebagai sumber air mentah.

“Selain itu, PBAPP juga mempertimbangkan Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (PDWSS) yang berpotensi menghasilkan 250 MLD sehari.

“PBAPP telah melantik juru perunding kejuruteraan bebas bagi melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Projek PWSI 2050,” tambah Zairil.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD