ADUN harap program gunting rambut secara percuma diperluas kesemua MPKK Kadun Batu Uban

BATU UBAN – Seramai 60 pelajar menyertai program gunting rambut secara percuma anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Dua bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Batu Uban dan Parlimen Bayan Baru yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), A. Kumaresan.

Kumerasan berkata, penganjuran program berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah memandangkan kos gunting rambut di pasaran kini mencecah RM8 hingga RM10 untuk seorang.

Sekiranya sebuah keluarga mempunyai empat anak yang bersekolah, maka sebanyak RM40 perlu dibelanjakan.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah, ini adalah satu jumlah yang besar dan juga bebanan kepada mereka,” katanya pada program berkenaan baru-baru ini.

Sejumlah RM2,000 diperuntukkan bagi menjayakan program berkenaan dengan bantuan tukang gunting profesional dari Barber Mat Salleh Jelutong.

Kesinambungan daripada program tersebut, Kumaresan menyeru kesemua MPKK di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban untuk menganjurkan program seumpamanya pada masa akan datang.

Daripada enam MPKK, dua daripadanya iaitu MPKK Batu Uban dan Sungai Dua berjaya menganjurkan gunting rambut secara percuma ini, diharap pada masa akan datang baki empat lagi MPKK akan mengikut perkara sama,” ujarnya.

Malah menjelang sesi persekolah 2019, difahamkan Pusat Khidmat Batu Uban dengan kerjasama Kompleks Bukit Jambul (KBJ) pada 27 Disember 2018 turut menaja bantuan kelengkapan persekolahan kepada 200 pelajar terpilih di kawasan berkenaan.

Bantuan seperti pakaian sekolah, beg, kasut dan peralatan tulis diberikan kepada pelajar-pelajar daripada 11 buah sekolah di sini,” ujarnya lanjut.