ADUN harap Pusat bina hospital awam baharu di Batu Kawan

Admin
ACARA gimik penyerahan kontena sejuk beku untuk menyimpan mayat di Hospital Sungai Bakap pada pagi tadi.

SUNGAI BAKAP – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Malaysian Universal Welfare Organization hari ini menyerahkan sumbangan sebuah kontena sejuk beku berkeluasan 20 kaki untuk menyimpan mayat di Hospital Sungai Bakap di sini, sementara sebuah kontena lagi dengan keluasan 40 kaki kepada pihak Hospital Pulau Pinang (HPP).

 

JASON H’ng Mooi Lye

Sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan syor untuk membina sebuah lagi hospital awam di Parlimen Batu Kawan sejajar dengan peningkatan penduduk lokal di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Lagipun menurutnya, berdasarkan jumlah populasi penduduk lokal di SPS mewajarkan daerah ini mempunyai dua hospital awam sebagaimana Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Saya mengalu-alukan sumbangan daripada pihak NGO kerana kita sedia maklum di sini (SPS) hanya ada satu hospital awam.

“Bagi saya Hospital Sungai Bakap di sini, dari segi keluasan (lantai) memang tidak cukup untuk menampung lambakan pesakit berdasarkan populasi penduduk di sini yang kian meningkat.

“Sehubungan itu, saya berharap Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh membina sebuah hospital awam yang lebih besar lagi di (Kawasan Parlimen) Batu Kawan,” ujarnya dalam sidang media di Hospital Sungai Bakap dekat sini pada 14 Oktober 2021.

 

CHUN Chee Meng

Turut serta, Pengarah Hospital Sungai Bakap, Dr. Suriani Saidin dan wakil Malaysian Universal Welfare Organization, Chun Chee Meng.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye memberitahu dengan pelaksanaan projek pembinaan pusat tahanan warga asing berhampiran penjara Seberang Perai dekat Jawi ketika ini, dijangka meningkatkan kapasiti penggunaan kontena sejuk beku untuk simpanan mayat di Hospital Sungai Bakap pada masa hadapan.

“Sebagaimana dimaklumkan oleh pihak Hospital (Sungai Bakap), paling merisaukan saya adalah apabila ada warga asing yang meninggal dunia, mayat perlu melalui proses yang lebih panjang (untuk disimpan di kontena sejuk beku) sebelum dituntut serta dihantar pulang ke negara asal mereka,” jelasnya.

 

ACARA gimik penyerahan alat bantuan pernafasan jenis penumpu oksigen kepada Dr. Suriani Saidin (tengah) di sini menjelang tengah hari tadi.

Pada majlis sama, Mooi Lye turut menyerahkan enam unit alat bantuan pernafasan jenis penumpu oksigen yang disumbangkan oleh sebuah NGO kepada pihak Hospital Sungai Bakap.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD