Transformasi pengurusan lesen premis dan iklan pendekkan masa proses

SEBERANG JAYA – Transformasi pengurusan lesen premis dan iklan untuk menjalankan perniagaan Seberang Perai oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya memendekkan masa memproses permohonan.

 

 

Ini berikutan sistem tersebut telah mejalani beberapa fasa perubahan melalui Business Process Reengineering (BPR).

 

Menurut Dauk Bandar bagi MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, kerjasama yang dimeterai antara MBSP dengan pihak MPC sebelum ini telah membantu mengenalpasti red tape dalam pengurusan lesen premis dan iklan hingga berjaya memendekkan proses permohonan lesen tersebut.

 

 

“Permohonan lesen premis dan iklan tidak berisiko dalam skim boleh diluluskan pada hari yang sama permohonan dibuat.

 

 

“Manakala bagi permohonan premis dan iklan tidak berisiko luar skim, berisiko dalam skim dan berisiko luar skim ditetapkan tempoh 21 hari dari tarikh permohonan lengkap diterima untuk pengeluaran keputusan permohonan.

 

 

“Usaha ini telah meningkatkan pengeluaran lesen tersebut di atas sebanyak 6 peratus (bersih) iaitu 61,474 lesen pada tahun 2020 berbanding 2019 iaitu 57,829 lesen,” ujar Rozali ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manual Pelesenan Panduan Permohonan dan Peraturan Lesen Premis dan Iklan MBSP dekat Menara Bandaraya MBSP pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Pemangku Setiausaha Bandaraya bagi MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-ahli Majlis bagi MBSP dan Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah.

 

Tambah Rozali, tidak sekadar terhenti di situ, pihak MBSP terus menjalankan usaha penambahbaikan apabila melaksanakan Business Process Improvement (BPI) pada tahun 2021.

 

 

“Proses ini telah menyumbang kepada penambahbaikan pengurusan lesen premis dan iklan bagi kategori berisiko dalam skim yang mana mulai Ogos 2021, permohonan kategori tersebut akan dikeluarkan lesen serta-merta setelah menerima permohonan lengkap daripada pemohon.

 

 

“MBSP telah berjaya untuk membuang proses kerja yang redundant dan seterusnya berjaya memendekkan proses kerja untuk mendapatkan kelulusan permohonan lesen perniagaan,” jelas Rozali lagi.

 

Mengulas lanjut, Rozali memaklumkan, MBSP telah berjaya melakukan satu lagi transformasi iaitu mendigitalkan proses permohonan lesen perniagaan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Lesen Interaktif dan Bersepadu (Speedbiz) di pautan https://speedbiz.mbsp.gov.my.

 

 

Sistem ini membolehkan pemohonan lesen premis perniagaan dan iklan dibuat di atas talian dan pemohon boleh mencetak lesen mereka sendiri apabila diluluskan.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBSP