ADUN harap rakyat kembali yakin proses demokrasi, pilihan raya PRU15

MUHAMAD Faiz Fadzil

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhamad Faiz Fadzil berharap perkembangan terbaru usaha mewujudkan undang-undang anti lompat parti akan menjana kembali keyakinan sekalian pengundi berdaftar untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang kian kunjung tiba.

Beliau yang juga pengamal undang-undang berkata demikian pada tengah hari tadi semasa diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengisytiharkan bahawa enakmen anti lompat parti yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada tahun 2012 adalah menepati Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah pelbagai pihak berasa tindakan beberapa wakil rakyat lompat parti sebagai tidak menghormati hak mereka sebagai pengundi berdaftar yang membuang undi dalam PRU14 pada 9 Mei 2018 lalu, dengan keputusan terbaru yang dibuat peringkat Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Anti Lompat Parti 2012 Pulau Pinang sebagai berperlembagaan, saya harap akan memberi harapan kembali untuk rakyat kembali menyertai proses demokrasi dan pilihan raya pada PRU15 nanti,” jelasnya semasa dihubungi Buletin Mutiara di sini pada 4 Ogos 2022.

Daripada sudut lain, Muhammad Faiz yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) memberitahu bahawa keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan tersebut sekali gus menunjukkan gabungan parti pemerintah di Pulau Pinang mempunyai iltizam politik yang ‘jauh ke depan’ berbanding usaha ‘Kerajaan Campuran’ peringkat Persekutuan pada hari ini, dari segi berusaha menyuburkan semangat demokrasi berperlembagaan.

“Dewan Rakyat pada hujung bulan lepas (Julai 2022) baru mencapai keputusan sebulat suara meluluskan RUU (Rang Undang-Undang) anti-lompat parti yang melibatkan 209 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir semasa proses undi belah bahagi dilaksanakan.

“Di Pulau Pinang, RUU Anti Lompat Parti dibentangkan dan diluluskan di DUN pada tahun 2012 lagi.

“Bagi saya, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat pada waktu itu 10 tahun di depan berbanding Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Pusat dalam usaha memperbaiki lagi proses demokrasi dan pilihan raya di negara ini secara amnya,” ulasnya lanjut.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dilaporkan mengisytiharkan bahawa enakmen anti-lompat parti yang diluluskan di DUN Pulau Pinang pada tahun 2012 adalah menepati Perlembagaan Persekutuan.

Di mahkamah, menyaksikan panel tujuh hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang juga adalah tidak batal kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(C) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB