Projek kuarters pekerja berpusat di Taman Teknologi Pulau Pinang dibatalkan

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan untuk membangunkan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di kawasan taman industri baharu di Taman Teknologi Pulau Pinang di Bertam, Seberang Perai Utara tidak akan diteruskan.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa pihak pemaju  telah memaklumkan hasrat untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan projek berkaitan setelah mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh termasuk penduduk setempat, pimpinan tempatan serta jabatan-jabatan teknikal terlibat.

 

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Penang Technology Park gembira apabila mendapat makluman daripada pemaju yang bersetuju untuk membatalkan pembangunan CLQ seperti yang terkandung dalam pelan terdahulu.

 

“(Dan) akan terus memantau pelaksanaan projek (Taman Teknologi Pulau Pinang) bagi memastikan projek ini menghasilkan manfaat sepenuhnya kepada penduduk dan negeri ini.

 

“Di samping itu, (diharapkan) pembangunan projek ini akan mengurangkan implikasi negatif yang mungkin dibawa oleh pembangunan industri berteknologi di sini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 4 Ogos 2022.

 

Menurut Ahmad Zakiyuddin, pihak pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi mengikut spesifikasi ditetapkan oleh jabatan teknikal dan pihak berkuasa tempatan.

 

“Pihak pemaju kini dalam proses menawarkan tapak-tapak (di Taman Teknologi Pulau Pinang) kepada industri.

 

“(Dan) selepas itu, sekiranya ada keperluan untuk membangunkan penginapan pekerja akan diketahui keperluannya, sama perlu atau tidak.

 

“Kerajaan Negeri berpandangan kiranya ada keperluan pihak industri patut menguruskan penempatan pekerja dan menggalakkan pihak industri untuk sama-sama memikirkan jika diperlukan (membangunkan CLQ) di kawasan industri,” jelasnya sebagai respons terhadap pertanyaan media.

 

Sebelum ini, terdapat bantahan daripada penduduk sekitar yang bimbang wujudnya pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak sekiranya cadangan untuk membangunkan CLQ diteruskan dengan melibatkan jumlah unit sebanyak 977 unit secara berfasa.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI